JIM Tahan 24 PATI
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

18 Januari 2026
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 24 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan sekitar daerah ini.
Operasi penguatkuasaan Ops Mahir, Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Gegar yang melibatkan 29 anggota dan pegawai JIM Sabah itu dilaksanakan selama dua hari yang berakhir, Jumaat lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan JIM Sabah, sepanjang operasi, sebanyak enam premis diperiksa dengan melibatkan 111 orang terdiri daripada warganegara Malaysia dan asing.

Katanya, hasil pemeriksaan, seramai 24 PATI ditahan terdiri daripada 10 lelaki dewasa dan 14 perempuan dewasa.
“Tangkapan melibatkan seramai 15 individu warganegara Filipina dan sembilan warga Indonesia yang dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah.
“Semua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Papar untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, JIM Sabah akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan berfokus kepada membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin.
“Operasi turut dilaksanakan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang imigresen negara,” katanya.


















Comments