JKDM Sabah Rampas Minuman Keras RM4.15 Juta di Pelabuhan Sepanggar
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA KINABALU, 27 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menumpaskan sembilan kes cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM4.15 juta termasuk duti dan cukai di Pelabuhan Sepanggar hasil dua operasi penguatkuasaan pada 10 dan 13 Ogos lalu.
Keseluruhan rampasan membabitkan 190,080 liter minuman keras pelbagai jenama dengan nilai barangan RM1,106,820 serta duti dan cukai bernilai RM3,043,903.50, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM4,150,723.50.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, enam kes pertama dikesan pada 10 Ogos menerusi pemeriksaan kontena di Custom Examination Area, Pelabuhan Sepanggar, di mana anggota Penguatkuasaan Kota Kinabalu menemukan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki melanggar peruntukan kastam, sekaligus menyita enam unit kontena untuk pemeriksaan terperinci dan siasatan lanjut.
Enam kes berkenaan membabitkan jumlah nilai barangan dan duti atau cukai sebanyak RM2,676,217.50.
Tiga kes lagi dikesan pada 13 Ogos oleh Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu di pelabuhan yang sama, dengan pemeriksaan menemukan 71,280 liter minuman keras jenis bir yang membabitkan jumlah nilai dan duti atau cukai sebanyak RM1,493,563.50.
Siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai menggunakan kontena sebagai medium membawa masuk minuman keras melalui laluan perdagangan maritim, dengan penghantaran disamarkan sebagai kargo perdagangan biasa bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa.
Menurut Amran, perakuan dan dokumentasi yang disyaki tidak tepat turut dikesan, di mana barangan dalam kontena dipercayai tidak diikrarkan dengan sewajarnya atau tidak mematuhi keperluan kastam bagi mengelakkan pembayaran duti dan cukai.
Bagi tiga kes terakhir, modus operandi dipercayai mengeksploitasi saluran import dan kemudahan logistik pelabuhan yang sah.
Kesemua sembilan kes disiasat mengikut Seksyen 133 dan 135 Akta Kastam 1967. Jika disabitkan mengikut Seksyen 133(1)(a), pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya. Manakala bagi kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(a),
kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM50,000, mengikut mana lebih tinggi, dengan denda maksimum 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau
seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000, manakala denda maksimum pula ialah 40 kali ganda amaun duti kastam atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya.
Amran turut menggesa orang ramai membantu JKDM membanteras kegiatan penyeludupan membabitkan minuman keras, rokok, mercun, kenderaan dan barangan lain, kerana kegiatan penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
Orang awam boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat, manakala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.















Comments