top of page

JKKK dan JKDB Rakan Strategik Pengurusan Kampung, Perumahan dan Komersial

  • nabalunews
  • Apr 13, 2025
  • 2 min read


13 April 2025


KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Bandar (JKDB) merupakan rakan strategik utama dalam pengurusan dan pembangunan kampung, taman perumahan, serta kawasan komersial khususnya di Kepayan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, kedua-dua entiti itu memainkan peranan penting sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan.


Katanya, mereka juga berperanan sebagai barisan hadapan dalam penyampaian maklumat, bantuan, dan sokongan kepada komuniti.


“JKKK dan JKDB adalah rakan kerja saya dalam memastikan isu-isu setempat dapat diselesaikan secara berkesan.


“Bagi memperkukuh peranan mereka, saya mengumumkan peruntukan sebanyak RM1,000 kepada setiap JKKK dan JKDB untuk melaksanakan aktiviti kecil di kawasan masing-masing,” katanya.


Beliau berkata demikian pada mesyuarat rasmi bersama semua Pengerusi JKKK dan JKDB yang diadakan di Balai Raya Kampung Koidupan, di sini, semalam.


Menurutnya, sebanyak RM25,000 juga turut diperuntukkan sebagai dana khas untuk kerja-kerja pembersihan mendesak yang memerlukan peralatan atau jentera khas seperti pemotongan rumput atau pembersihan longkang.


Sementara itu, Jannie turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kenaikan peruntukan dan kebajikan bagi JKKK dan JKDB.


“Saya akan terus mendesak kerajaan agar menaikkan elaun mesyuarat dan memastikan pembayaran dibuat secara konsisten.


“Gaji Ketua Kampung sudah dinaikkan, maka elaun JKKK juga perlu dikaji semula dan dinaikkan selaras dengan tanggungjawab yang mereka pikul,” ujarnya.


Beliau turut berharap agar semua JKKK dan JKDB di kawasan Kapayan akan terus berkhidmat dengan komitmen tinggi demi kesejahteraan penduduk.


Sementara itu, Jannie berkata, mesyuarat berkenaan turut menumpukan perhatian kepada isu keselamatan dan penempatan setinggan.


Katanya, sebanyak 12 kawasan setinggan dikenal pasti di daerah Penampang, dengan kebimbangan terhadap kegiatan penyeludupan barang terlarang dan penjualan sisa radioaktif secara terbuka.


“Pemantauan rapi oleh JKKK dan agensi berkaitan akan dilaksanakan bagi menangani risiko keselamatan penduduk.


“Peranan anda sangat penting. Saya akan terus menyokong dari segi dasar dan sumber,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page