Model pertumbuhan seimbang tangani isu alam sekitar dan pembangunan Sabah
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

26 Mei 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengamalkan pendekatan model pertumbuhan seimbang bagi menangani isu alam sekitar dan pembangunan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata Sabah tidak mahu pembangunan yang memusnahkan alam sekitar, namun pada masa sama tidak boleh menerima pendekatan idealisme alam sekitar yang melambatkan kemajuan rakyat.
“Kita mesti menolak kedua-dua ekstrem ini. Kita tidak mahu pembangunan yang melulu, tetapi kita juga tidak mahu peralihan yang tidak realistik.
“Jalan ke hadapan bagi Sabah ialah model pertumbuhan seimbang iaitu pertumbuhan dengan disiplin, pemuliharaan dengan nilai, pelaburan dengan tanggungjawab, peralihan tenaga dengan kemampuan dan kemampanan dengan keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang kemuncak Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability sempena World Green and Sustainability Summit (WGSS), di sini, Isnin.
Hajiji berkata walaupun Sabah merupakan sebuah negeri kecil dalam sebuah negara kecil, negeri itu memiliki kekuatan dan aset yang semakin bernilai dalam landskap global masa kini.
Katanya Sabah dikurniakan modal semula jadi yang kaya, biodiversiti luar biasa, sumber daratan dan maritim yang luas, potensi tenaga, kedudukan geografi strategik serta kestabilan politik.
“Yang paling penting, kita mempunyai generasi muda yang bersedia membantu membentuk ekonomi masa depan. Peluang yang ada di hadapan Sabah amat besar.
“Sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi kawasan hutan simpan yang luas, memelihara biodiversiti penting di peringkat global serta mengekalkan antara kadar tertinggi kawasan perlindungan di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata Sabah kini diiktiraf sebagai peneraju penting dalam pemuliharaan bukan sahaja di Malaysia, malah di Asia Tenggara, sekali gus meletakkan negeri itu pada kedudukan terbaik untuk menjadi destinasi pelaburan yang bertanggungjawab dan mampan.
Menurut Hajiji, fasa pertumbuhan hijau Sabah seterusnya adalah bergerak ke arah pemuliharaan yang mempunyai nilai ekonomi.
Katanya kerajaan negeri sedang beralih daripada sekadar melindungi sumber kepada membangunkan industri bertanggungjawab berasaskan sumber berkenaan, selain berusaha menjadi peneraju ekonomi hijau.
“Ini termasuk membangunkan pasaran karbon yang berwibawa dan memberi manfaat kepada Sabah, menarik pelaburan hijau berkualiti yang mewujudkan nilai ekonomi sebenar serta mengembangkan industri berasaskan tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan, ekonomi biru, ekopelancongan dan inovasi berasaskan biodiversiti.
“Ia juga bermakna memastikan syarikat tempatan, pekerja tempatan dan komuniti tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai,” katanya.
Hajiji berkata jauh sebelum kemampanan menjadi agenda antarabangsa, Sabah sudah melindungi hutan, lautan, hidupan liar dan sebahagian daripada ekosistem terkaya di rantau ini.
“Hari ini, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), dan itu bukan satu komitmen yang kecil,” katanya.
Beliau berkata WGSS merupakan platform penting untuk membincangkan isu kemampanan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat serta masa depan generasi muda.
Namun, katanya kemampanan bukan sekadar konsep yang kedengaran baik di dewan persidangan, sebaliknya perlu berfungsi di lapangan dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Peralihan hijau yang terlalu mahal untuk keluarga biasa bukanlah sesuatu yang mampan. Dasar yang melindungi masa depan tetapi membebankan masa kini perlu dinilai dengan teliti.
“Model pembangunan yang kelihatan baik di peringkat antarabangsa tetapi melemahkan daya saing tempatan bukanlah model yang tepat untuk Sabah.
“Bagi Sabah, kemampanan mesti bersifat praktikal, adil, mampu dilaksanakan dan paling penting, memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.















Comments