KM: Kerajaan Negeri penjaga bertanggungjawab alam sekitar Sabah
- nabalunews
- May 26
- 2 min read

26 Mei 2026
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan Kerajaan Negeri terus memainkan peranan sebagai penjaga yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar Sabah, di samping kekal tegas mempertahankan masa depan ekonomi rakyat negeri ini.
Beliau berkata Sabah komited untuk memastikan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan secara seimbang demi kepentingan jangka panjang negeri.
“Inilah keseimbangan yang dicari Sabah. Inilah masa depan yang sedang dibina oleh Sabah,” katanya ketika berucap pada sidang kemuncak World Green and Sustainability Summit (WGSS) bertemakan “Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability” di sini pada Isnin.
Hajiji berkata, Sabah menyokong sepenuhnya pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta usaha memperkukuh perlindungan alam sekitar, namun pada masa sama negeri itu masih memerlukan pembangunan ekonomi dan infrastruktur.
“Kerajaan Negeri kini giat memperkukuh infrastruktur, memperluas kapasiti industri, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan keselamatan tenaga demi pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Jadi, pendirian kita dalam perkara ini adalah jelas,” katanya.
Beliau berkata, isu tenaga bukan sahaja berkaitan alam sekitar, malah turut melibatkan aspek ekonomi dan keselamatan jangka panjang Sabah, justeru pendekatan campuran tenaga yang seimbang dan praktikal amat penting.
Katanya, tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro, biojisim dan biogas perlu terus diperluaskan sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju tenaga jangka panjang negeri.
Menurut Hajiji, Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 turut memberi penekanan kepada pembangunan tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses, mampu dimiliki dan mampan.
Beliau berkata pelan itu merangkumi usaha meningkatkan margin rizab penjanaan, memperbaiki campuran penjanaan tenaga serta memperluas sumbangan tenaga boleh diperbaharui di Sabah.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah wajar menerima nilai ekonomi yang adil memandangkan negeri itu memainkan peranan besar dalam pemuliharaan alam sekitar negara.
Beliau berkata usaha pemuliharaan bukan sahaja tanggungjawab moral, malah turut melibatkan kos ekonomi yang besar kepada negeri.
“Apabila tanah dipelihara, wujud kos peluang. Apabila hutan dilindungi, ada hasil yang terpaksa dilepaskan,” katanya.
Menurutnya, ekosistem Sabah yang menyerap karbon serta menyokong biodiversiti bukan sahaja memberi manfaat kepada negeri itu, malah turut memberi manfaat kepada Malaysia, rantau ini dan masyarakat global.
Sehubungan itu, katanya perbincangan mengenai kemampanan perlu turut merangkumi aspek keadilan termasuk nilai, pengiktirafan, pelaburan dan penyertaan yang adil.
“Sabah tidak boleh terus dilihat hanya sebagai tempat yang menyumbang modal semula jadi. Sabah juga mesti menjadi tempat yang menerima manfaat daripada modal semula jadi,” katanya.
Hajiji berkata Sabah mampu membuktikan bahawa sebuah negeri membangun tidak perlu memilih antara melindungi alam semula jadi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita boleh melakukan kedua-duanya, tetapi kita mesti melaksanakannya dengan cara yang sesuai untuk Sabah,” katanya.















Comments