JKN Sabah Anugerah 14 Daerah Cemerlang Tangani Tibi 2025
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
4 Mac 2026
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah mengadakan Mesyuarat Teknikal Tibi dan Kusta Negeri Sabah bersempena dengan Majlis Penyampaian Anugerah Pencapaian Program Kawalan dan Pencegahan Penyakit Tibi Tahun 2025, di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, semalam.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. William Gotulis, bertujuan membincangkan status terkini serta langkah kawalan penyakit Tibi (TB) dan Kusta di negeri ini, sekali gus mengukuhkan komitmen dalam usaha merealisasikan sasaran eliminasi selaras dengan strategi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh beliau sendiri diiringi oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Muhammad Jikal, dan Ketua Cawangan TB/Kusta, Dr. Michelle Goroh.

Penganugerahan ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada daerah-daerah yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek pelaksanaan program kawalan TB sepanjang tahun lalu.
Daerah Tongod muncul sebagai antara penerima paling cemerlang apabila meraih dua anugerah utama, iaitu Anugerah Pencapaian Case Detection Rate (CDR) Terbaik dan Anugerah Pencapaian Kadar Sukses Rawatan (Warganegara) Terbaik.
Anugerah CDR Terbaik turut disertai oleh daerah Beluran, Kota Belud, Tenom, dan Keningau. Sementara itu, daerah Sipitang turut berkongsi anugerah Kadar Sukses Rawatan Terbaik bersama Tongod.
Dalam aspek saringan dan pencegahan, daerah Kudat, Pitas, dan Ranau diiktiraf menerusi Anugerah Pencapaian Kadar Pemeriksaan Saringan Kontak Pertama Terbaik.
Bagi komponen rawatan pencegahan, daerah Tawau menerima Anugerah Pencapaian Tuberculosis Preventive Treatment (TPT) Enrolment Terbaik, manakala daerah Putatan dianugerahkan bagi pencapaian TPT Enrolment Kanak-Kanak di bawah 5 Tahun Terbaik.
Mesyuarat teknikal yang diadakan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah itu turut dihadiri oleh barisan ketua jabatan, pakar perunding, pengarah hospital, pegawai kesihatan kawasan, serta TB MyChampion dari seluruh Sabah.
Melalui pengiktirafan ini, JKN Sabah menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh program kawalan dan pencegahan penyakit Tibi dan Kusta di seluruh daerah.















Comments