top of page
nabalunews

JKPPH GESA KPT KURANGKAN YURAN PELAJAR IPTA/S


9 Julai 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengurangkan yuran pelajar di Universiti Awam (UA) dan memberikan subsidi bayaran yuran kepada pelajar dari keluarga B40 dan M40 di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS). Menurut jawatankuasa itu, para siswa UA menuntut supaya kadar yuran yang dikenakan ke atas mereka dikurangkan ekoran kemelut ekonomi yang melanda negara kini sepanjang tempoh pemulihan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Isu ini walaupun tidak disensasikan oleh media-media arus perdana, namun ianya melibatkan kepentingan lebih 500,000 pelajar IPTA di seluruh negara.   “JKPPH bersetuju dengan tuntutan dari para siswa agar pihak UA menurunkan yuran dengan mengecualikan yuran-yuran tidak berkaitan sewaktu kebanyakan pelajar menjalankan sesi kuliah dan pembelajaran mereka secara dalam talian,” kata kenyataan media itu, hari ini.   Menurut kenyataan itu, JKPPH sedar pihak kerajaan harus mengambil langkah tidak konvensional dalam menangani krisis Pendidikan di kala wabak melanda. “Keadaan yang getir dan luar biasa ini memerlukan pendekatan tidak konvensional dalam memastikan proses Pendidikan tidak terganggu dan akses rakyat kepada pendidikan berkualiti di peringkat pengajian tinggi akan terus lestari kendatipun wabak yang melanda,” katanya. Sehubungan itu JKPPH menggesa agar pihak KPT menurunkan yuran di UA selaras tuntutan para siswa, dan memberikan subsidi tambahan kepada pihak universiti di atas penurunan tersebut untuk menampung kos pengurusan universiti melalui geran-geran khas sementara krisis ekonomi dan wabak yang melanda.   Jawatankuasa itu juga mencadangkan agar kerajaan menyalurkan lebih banyak geran untuk pembangunan infrastruktur dan infostruktur digital di kesemua 20 UA demi memastikan kelancaran pembelajaran secara digital dapat dijalankan oleh kesemua UA demi keselesaan dan kemudahan pembelajaran dan pengajaran para siswa dan para pensyarah.   ”Bagi pihak IPTS pula, kerajaan perlu mengimbangkan di antara kelangsungan pengurusan pihak IPTS yang terbabit dan juga kemaslahatan para pelajar. “Maka dicadangkan agar kerajaan memberikan subsidi bayaran yuran kepada para pelajar dari keluarga B40 dan M40 yang belajar di IPTS yang memungkinkan pihak IPTS membuat penurunan yuran yang dikenakan ke atas mereka. “JKPPH juga mencadangkan agar pengecualian cukai ke atas IPTS berdasarkan jumlah biasiswa yang mereka berikan kepada pelajar memerlukan, dan berdasarkan penurunan yuran yang mereka berikan kepada para pelajar tempatan,” katanya.   Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi JK Pendidikan Pakatan Harapan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Setiawangsa (KEADILAN) Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Tampin (AMANAH) Datuk Dr Hasan Bahrom, Ahli Parlimen Kulai (DAP)Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Sekijang, (KEADILAN) Natrah Ismail, Ahli Parlimen Bukit Mertajam (DAP) Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Tangga Batu (KEADILAN) Rusnah Aluai.

Comments


bottom of page