top of page

Ewon rasmi Tamu Desa Bukit Belacon, Lahad Datu dan Tamu Desa Piuludan-Andrassy Tawau

  • nabalunews
  • May 9
  • 2 min read

Ewon menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Tamu Desa Bukit Belacon, Lahad Datu.
Ewon menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Tamu Desa Bukit Belacon, Lahad Datu.

9 Mei 2025


LAHAD DATU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, hari ini merasmikan dua Tamu Desa iaitu Tamu Desa Bukit Belacon di Lahad Datu dan Tamu Desa Piuludan-Andrassy di Tawau.


Beliau berkata, kedua-dua kemudahan tersebut merupakan antara 98 Tamu Desa baharu dan yang dinaik taraf di Sabah dan Sarawak yang siap dibina tahun lalu dan awal tahun ini.


“Tamu Desa ini dibina melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun lalu di bawah inisiatif Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP), yang memberi tumpuan khusus kepada keperluan dinamik sektor keusahawanan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ewon bergambar bersama sebahagian usahawan tamu di Tamu Desa Bukit Belacon.
Ewon bergambar bersama sebahagian usahawan tamu di Tamu Desa Bukit Belacon.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian dua Tamu Desa secara berasingan, hari ini.


Ewon berkata, Tamu Desa Bukit Belacon, yang beroperasi setiap Sabtu turut digunakan sebagai lokasi pelbagai acara komuniti pada hari-hari lain.


Beliau turut menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih berjumlah RM10,000 kepada pengurusan Tamu Desa Bukit Belacon bagi tujuan penyediaan kelengkapan tambahan seperti meja jualan dan kerusi.


Sementara itu, di Tawau, beliau turut merasmikan Tamu Desa Piuludan-Andrassy yang berkonsepkan gerai tamu mengelilingi dewan terbuka sedia ada. Ia beroperasi setiap Sabtu dan menjadi lokasi pelbagai aktiviti rakyat di kawasan tersebut.

Dalam majlis itu, Ewon melancarkan Koperasi Rakyat Tawau Berhad yang sedang mengubah suai sebuah bangunan untuk dijadikan pasaraya runcit.


“Saya yakin pelancaran koperasi ini menjadi permulaan kepada kejayaan yang lebih besar. Saya meminta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) untuk terus membimbing koperasi ini seperti mana sokongan kepada koperasi lain di seluruh negara,” ujarnya.


Sebagai sebahagian daripada Program Memasyarakatkan Koperasi, turut diadakan ceramah oleh SKM dan IKMA, selain penyampaian bakul makanan kepada 170 penerima.

Ewon memalu gong sebagai simbolik perasmian Tamu Desa Piuludan-Andrassy  Tawau.
Ewon memalu gong sebagai simbolik perasmian Tamu Desa Piuludan-Andrassy Tawau.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page