top of page

MUTIARA GRS Jalin Kerjasama Strategik

  • nabalunews
  • 53 minutes ago
  • 1 min read

14 Mac 2026


KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan organisasi yang sehaluan bagi memperluaskan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.


Yang Dipertua MUTIARA GRS Datuk Juliah Salag, menyeru semua ahli untuk menggandakan usaha dalam menjayakan hasrat tersebut serta meluangkan masa dan komitmen bagi menyertai program-program anjuran pertubuhan berkenaan.


Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MUTIARA GRS Ke-5 di Rumah MUTIARA GRS dekat sini, pada Sabtu, beliau menekankan kepentingan penyertaan aktif dalam kalangan ahli.

“Bagi memperkasa lagi program kebajikan dan kemasyarakatan kita pada tahun ini, saya menyeru semua ahli agar lebih proaktif dan terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti, khususnya di kawasan masing-masing.


“Saya berharap setiap ahli terus berganding bahu bagi memastikan kejayaan serta mencapai matlamat murni penubuhan MUTIARA GRS,” katanya.


Juliah turut menggalakkan ahli-ahli menyumbang idea yang memfokuskan kepada pemerkasaan wanita, program kebajikan, pembangunan kemahiran perniagaan serta bidang-bidang lain yang berkaitan.

“Saya mahu ahli-ahli kita mencadangkan aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran, pengetahuan serta kesejahteraan diri. Kita juga boleh merancang program pembangunan diri seperti latihan etika sosial, bengkel kesihatan, aktiviti sukan dan rekreasi, literasi digital serta lawatan pendidikan.


“Selain mengeratkan hubungan sesama kita, inisiatif-inisiatif ini juga memberi peluang bermakna untuk kita terus belajar, membina rangkaian dan maju bersama,” tambah beliau.


Mengakhiri ucapannya, beliau menyatakan harapan agar semua inisiatif yang dirancang bagi tahun ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mengikut jadual demi manfaat rakyat.

“Kejayaan memerlukan perpaduan dan sokongan bersama. Tanpa persefahaman serta usaha gigih daripada semua pihak, adalah mustahil bagi persatuan ini berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mampu membawa perubahan bermakna dan kemakmuran kepada

masyarakat,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page