Saman AWAS: Individu disenaraihitam boleh nyahaktif status mulai 18 Mac
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

14 Mac 2026
SHAH ALAM: Individu yang disenaraihitamkan disebabkan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) boleh menyahaktifkan status berkenaan menerusi aplikasi MyJPJ bermula 18 Mac ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata langkah itu bagi memudahkan pengguna jalan raya menyelesaikan saman, sekali gus membolehkan mereka memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) tanpa perlu ke kaunter JPJ.
"Jadi, pengguna yang dikenakan saman AWAS boleh memanfaatkan kemudahan ini dengan membuat bayaran terus melalui aplikasi MyJPJ.
"Bagaimanapun, tiada potongan diberikan terhadap saman lama kecuali saman AWAS yang diterima tahun ini yang ditawarkan potongan secara berperingkat antara RM150, RM200 dan RM300 mengikut tempoh bayaran dibuat," katanya pada sidang media Ops Hari Raya Aidilfitri dan SLD, di sini semalam.
Aedy Fadly berkata, pembayaran melalui MyJPJ bagaimanapun tidak melibatkan saman Notis Temu Siasat (114) serta saman yang tidak boleh dikompaun kerana kes itu perlu diselesaikan di mahkamah.
Bagi individu yang dikenakan Notis Temu Siasat, katanya, mereka perlu hadir ke pejabat JPJ terbabit bagi melengkapkan siasatan terhadap kesalahan lalu lintas yang dilakukan.
"Jika mereka tidak hadir, status akan disenaraihitamkan dan mereka tetap perlu datang ke JPJ untuk menyelesaikannya," katanya.
Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata bersempena Aidilfitri, pihaknya akan menguatkuasakan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan selaras dengan pengumuman dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Katanya, langkah itu akan dikuatkuasakan selama empat hari, iaitu pada 19 hingga 20 Mac serta 28 hingga 29 Mac bagi memastikan aliran trafik lebih lancar di lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara. -Bernama











