KPDN Perkasa Penguatkuasaan Banteras Ketirisan dan Penyeludupan Barang Kawalan
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 3 min read

14 Mac 2026
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan memperkasakan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan barang kawalan.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu yang mengarahkan pengaktifan serta-merta Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP).
Katanya, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof manakala KPDN pula akan bertindak selaku urus setia.
“Pengaktifan jawatankuasa ini adalah susulan daripada peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan barang kawalan khususnya bahan api diesel dan petrol akibat daripada konflik Asia Barat yang telah melonjakkan harga minyak global.
“Peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan di Malaysia berlaku kerana harga runcit diesel dan petrol di pam masih jauh rendah berbanding harga pasaran sungguhpun pelarasan kenaikan harga telah dibuat untuk tempoh 12 hingga 18 Mac ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah dan Advokasi Kepenggunaan yang diadakan di Dewan Serbaguna Sembulan, di sini, hari ini.
Armizan berkata, pelarasan harga berkenaan terpaksa dibuat lanjutan daripada peningkatan tinggi harga minyak Brent dunia di paras antara USD 90 hingga melebihi USD100 setong minggu sebelumnya berbanding antara USD60 hingga USD70 setong sebelum konflik bermula.
Selain itu katanya, risiko ketirisan dan penyeludupan menjadi semakin besar bagi Sabah dan Sarawak kerana pemberian subsidi pukal diesel masih diteruskan.
“Bagi kedua-dua negeri ini, harga pam diesel hanya RM2.15 seliter, berbanding di Semenanjung Malaysia iaitu RM3.92 seliter, manakala harga pasaran Automatic Pricing Mechanism (APM) semasa mencecah RM4.30 seliter.
“Ini bermaksud rakyat di Sabah dan Sarawak membeli diesel di pam kurang separuh daripada kos sebenar.
“Implikasi tanggungan subsidi Kerajaan ini akan menjadi semakin jauh membesar sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibanteras.
“Implikasi kewangan sedia ada subsidi pukal diesel di Sabah dan Sarawak sememangnya telah amat besar. Sebagai contoh, bagi tahun 2025, subsidi pukal diesel yang ditanggung Kerajaan bagi kedua-dua negeri ini mencecah RM2 bilion iaitu RM924 juta bagi Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak.
“Berdasarkan kadar jumlah penggunaan yang sama dan harga pasaran semasa, implikasi tanggungan subsidi Kerajaan ini akan mencecah RM4.6 bilion bagi tahun 2026,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan menegaskan, mengambil kira ketidaktentuan konflik Asia Barat dan harga minyak global, salah satu langkah intervensi serta-merta susulan konflik Asia Barat yang diputuskan oleh Jemaah Menteri adalah keperluan untuk memperkasa penguatkuasaan merentasi keseluruhan agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Selain kawasan-kawasan sempadan dan lokasi panas di seluruh negara, fokus utama adalah Negeri Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira faktor subsidi pukal diesel yang masih berkuat kuasa dengan jurang harga subsidi, harga pam dan harga pasaran yang amat besar melebarkan ruang risiko ketirisan dan penyeludupan.
“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
“Di bawah Akta 122, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
“Manakala, di bawah Akta 613 jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi,” katanya.











