top of page

JKR diarah selesaikan segera masalah jalan rosak di Sabah

nabalunews

5 November 2024


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, hari ini mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) agar segera menyelesaikan masalah jalan rosak atau yang digambarkan sebagai ‘jalan macam di bulan’ yang berlaku di seluruh negeri.


Beliau menegaskan bahawa langkah proaktif perlu diambil segera, termasuk mengarahkan syarikat konsesi untuk mempercepatkan kerja-kerja pembaikan jalan yang rosak.


Menurut beliau, keadaan jalan yang tidak diselenggara dengan baik bukan sahaja membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, tetapi juga menjejaskan kelancaran perhubungan di negeri ini.


“Kita mesti sentiasa memikirkan mengenai keperluan rakyat. Tanpa tindakan, kerajaan dan JKR akan terus menerima kecaman daripada rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja di Kementerian Kerja Raya negeri di Bangunan JKR Sembulan, di sini, hari ini.


Ketua Menteri menekankan pentingnya kerja pemantauan di semua laluan seluruh negeri, sama ada jalan negeri atau Persekutuan.


“Beri perhatian terhadap keluhan rakyat, ada banyak aduan biasa. Jadi, saya mahu JKR negeri tidak menunggu (aduan), tapi cari penyelesaian segera terhadap masalah itu,” katanya seperti dilaporkan Info X.


Selain itu, Hajiji turut menyentuh mengenai langkah menyelesaikan isu air tidak berhasil (NRW) yang masih banyak berlaku di Sabah.


Katanya, kerajaan negeri akan mendapatkan penyiasat bebas bagi mencari punca NRW yang ketika ini berada pada paras 60 peratus, kebanyakannya berpunca kes curi air.


Mengenai kekurangan tenaga kerja yang dialami Kementerian Kerja Raya negeri, Hajiji mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong untuk meneliti perkara itu.


Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata kementeriannya akan terus mengambil usaha bagi mengatasi isu membabitkan kementeriannya menerusi pelbagai inisiatif.

Comments


bottom of page