Joesey Limy dipilih Ketua Bahagian UPKO Kimanis
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Joesey Limy dipilih Ketua Bahagian UPKO Kimanis


19 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KIMANIS: Bekas guru besar Joesey Limy dipilih sebagai Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kimanis bagi sesi 2022-2025.


Joesey mendapat undi terbanyak mengetepikan dua lagi calon lain yang bertanding bagi jawatan itu pada pemilihan parti peringkat Bahagian Kimanis, kelmarin.


Beliau yang sebelum ini ahli jawatankuasa biasa, mengambil alih kepimpinan UPKO Kimanis selepas penyandangnya Lawrence Odong, 72, mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan itu.

Manakala bagi Pergerakan Wanita UPKO Kimanis pula, Florence Godfrey memperolehi undi terbanyak mengetepikan dua calon lain pada pemilihan itu untuk ketua wanita.


“Saya terkejut dan tidak menyangka menang sebagai ketua wanita. Bagaimanapun saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli wanita yang memberi kepercayaan menerajui kepimpinan wanita UPKO Kimanis.


“Saya akan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini sebaik mungkin demi memantapkan lagi parti khususnya di kawasan Kimanis,” katanya ketika ditemui Nabalu News.

Sementara itu Ketua Generasi Muda (GEM) UPKO Kimanis Russell Flavian Richard yang menang tanpa tanding pada pemilihan itu berkata, bukan mudah untuk menjadi seorang ketua.


“Besar tanggungjawab yang perlu dipikul. Jawatan bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan tetapi saya menganggapnya sebagai amanat untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya.


Katanya lagi walaupun banyak cabaran terpaksa dihadapi namun ia tidak melunturkan semangatnya untuk terus berjuang demi UPKO.


Bagi Pergerakan Pemuda UPKO Kimanis pula, Royston Adven mengambil alih kepimpinan itu daripada penyandangnya terdahulu.


Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Kimanis itu disempurnakan oleh Naib Presiden UPKO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.

Tags:

bottom of page