Jubilo Football Academy Jalin Kerjasama Strategik dengan SMK Arshad Kota Belud
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 30 Julai – Jubilo Football Academy (JFA) secara rasmi menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad Kota Belud sebagai Pangkalan Utama Jubilo Kota Belud bagi program pembangunan bola sepak akar umbi, menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung pada 28 Julai lalu.
Perjanjian strategik itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif JFA, Saiful Azua @ Joe Golkhan, bersama Pengetua SMK Arshad, Anjan Ruddin.
Menurut Saiful, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan JFA dalam membangunkan ekosistem bola sepak yang mampan, selari dengan pendekatan holistik yang menekankan pembangunan sahsiah, disiplin, dan semangat kesukanan di samping kemahiran di atas padang.
JFA yang memulakan perjalanan sebagai kelab pada tahun 2008 sebelum dinaik taraf sebagai akademi pada tahun 2023, kini giat membangunkan pemain muda dalam kategori Bawah 8 hingga Bawah 16 tahun di beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Papar, Kota Belud, dan Kota Marudu.
Kejayaan akademi ini turut diiktiraf apabila dilantik secara rasmi untuk mengurus dan mewakili Sabah dalam saingan Liga Remaja Kebangsaan (NFDP) B16 2026.
Dengan penjenamaan semula dan kerjasama baharu ini, lebih ramai bakat muda di Kota Belud diharap dapat dicungkil melalui platform lebih tersusun, sekaligus melahirkan generasi pemain bola sepak berkaliber untuk masa depan negeri Sabah.











