top of page

Jurutera Kerugian RM1.19 Juta Terpedaya Skim Pelaburan Emas di Kudat

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

12 Februari 2026


KUDAT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin memaklumkan orang ramai mengenai satu modus operandi penipuan pelaburan yang membabitkan kerugian besar, dengan kes terbaharu melibatkan seorang jurutera berusia 50-an yang kerugian RM1.195 juta.


Kejadian bermula pada 25 Disember 2025 apabila mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada seorang wanita tidak dikenali yang mendakwa tersilap menghantar sebuah kek ke alamat mangsa. Suspek menggunakan alasan tersebut untuk memulakan perkenalan.


Beberapa hari kemudian, suspek menghubungi mangsa sekali lagi dan mengajaknya menyertai skim pelaburan emas dengan menjanjikan pulangan lumayan. Mangsa yang terpedaya telah melakukan transaksi pembayaran pertama sebanyak RM3,000 ke dalam akaun bank milik sebuah syarikat bernama Abidin Trading Sdn. Bhd.


Dalam tempoh sebulan berikutnya, mangsa telah melakukan 20 transaksi tambahan ke dalam lapan akaun bank milik pelbagai syarikat yang berbeza, menjadikan jumlah keseluruhan wang yang hilang mencecah RM1.195 juta.


Syarikat-syarikat yang terlibat termasuk Abidin Trading Sdn. Bhd., Rosnitah Mewah Trading Sdn. Bhd., JM Maju Construction Sdn. Bhd., Aurix Marketing Sdn. Bhd., Quantum Global Venture, FZ Construction Hardware Trading, Zeve Engineering Services dan SCSS Renovation Sdn. Bhd.


Setelah menyedari dirinya telah diperdaya, mangsa membuat laporan polis pada 29 Januari 2026. Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


PDRM menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan daripada individu yang baru dikenali melalui platform media sosial atau aplikasi perbualan dalam talian.


Orang ramai juga digesa untuk menggunakan Portal Semak Mule RMP di semakmule.rmp.gov.my bagi menyemak nama penerima atau nombor akaun bank sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan. Jika maklumat tersebut terdapat dalam senarai semakan, orang ramai dinasihatkan agar tidak meneruskan pembayaran dan segera menghubungi pihak berkuasa.


Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam memerangi jenayah penipuan. Satu semakan yang mudah di Portal Semak Mule boleh menyelamatkan wang keras anda.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page