KAJI SEBELUM BERCAKAP, JANGAN ROSAKKAN PENYATUAN GRS: FAIRUZKAJI SEBELUM BERCAKAP, JANGAN ROSAKKAN PENYATUAN GRS: FAIRUZ
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KAJI SEBELUM BERCAKAP, JANGAN ROSAKKAN PENYATUAN GRS: FAIRUZ


3 JAN 2021


KOTA KINABALU: Ketua ARMADA BERSATU Sabah, Fairuz Renddan meminta agar semua pihak yang ingin mengeluarkan sebarang kenyataan atau bercakap terutamanya berkenaan isu yang mampu menggugat penyatuan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meneliti dan kaji terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu isu.


“Jangan buat tuduhan sembarangan, kaji dulu sebelum bercakap atau berbahasa sesuatu isu, apatah lagi jika perkara itu melibatkan perkara sensitif atau mampu menjejaskan perpaduan serta penyatuan dalam GRS.


“Penyatuan yang dibentuk ini adalah wadah kepada kerjasama yang akan diteruskan untuk kebaikan bersama dan jika ada pihak sengaja ‘mencucuk’ atau menjadi ‘batu api’ yang sengaja memanaskan keadaan, tentu saja ini tidak baik untuk semua pihak,” katanya.


Fairuz berkata demikian berikutan dakwaan Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki yang mengatakan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mencuba untuk ‘mencuri dan membeli’ ahli parti dari UMNO.


Kenyataan Asyraf itu turut disusuli dengan kenyataan balas dari Ketua Pemuda UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain yang mendakwa BERSATU hampir berjaya menarik semua ahli UMNO Sabah.


“Dari mana dia (Abdul Aziz) tahu dan pasti tentang perkara ini, semua ahli UMNO Sabah yang keluar dari UMNO dulu adalah menjadi bebas, dan menyertai BERSATU secara sukarela, selepas BERSATU masuk ke Sabah pada 6 April 2019.


“Dari mana pula timbul isu BERSATU ‘membeli dan mencuri’ ahli UMNO?,”kata Fairuz lagi.


Jelas Fairuz lagi, tindakan Abdul Aziz yang melemparkan tuduhan tidak berasas itu umpama mahu memecahbelahkan penyatuan dalam GRS.


“Jangan cakap jika tidak ada bukti, jika tidak tahu apa-apa, jangan tunjuk macam tahu segalanya.


“Jangan rosakkan penyatuan GRS yang menjalinkan UMNO dan BERSATU sebagai rakan kongsi membentuk Kerajaan Negeri Sabah,” tegas Fairuz lagi.

bottom of page