- nabalunews
Kanak-kanak 10 tahun maut keracunan, mangsa alami gejala selepas makan makanan dibeli bapa
29 Julai 2024
KOTA KINABALU: Kanak-kanak berusia 10 tahun, Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal yang meninggal dunia akibat keracunan makanan di Sandakan pada 25 Julai lalu, disyaki mengalami gejala selepas memakan makanan yang dibeli oleh bapanya.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna berkata, siasatan pihaknya mendapati kanak-kanak itu bersama ibunya mempunyai sejarah memakan makanan yang sama.
Bagaimanapun, katanya sejarah lengkap pergerakan dan pendedahan kes kepada makanan serta punca kematiannya masih dalam siasatan.
Katanya, sampel makanan terbabit dan persekitaran juga sudah diambil bagi menentusahkan punca kejadian.
“Kes kematian ini membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dengan sejarah memakan makanan yang dibeli oleh bapanya pada 23 Julai 2024.
“Kanak-kanak itu mengalami gejala cirit-birit, demam dan hilang selera makan. Kemudian pada 24 Julai, kanak-kanak itu mengalami sawan dan dibawa ahli keluarga ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Rawatan kecemasan seterusnya diberikan kerana dia didapati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan. Kanak-kanak itu dimasukkan ke Wad Perubatan Pediatrik sebelum disahkan meninggal dunia.
“Maklumat awal yang diperolehi menyatakan bahawa ibu kanak- kanak itu juga ada memakan makanan berkenaan dan mengalami gejala sama serta diberi rawatan di Wad Perubatan Perempuan Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan,” katanya.
Dr Asits berkata, keracunan makanan boleh berlaku akibat pengambilan makanan atau minuman yang tercemar dan orang ramai dinasihati supaya mengambil berat soal berkenaan.
“Jabatan Kesihatan juga ingin menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala keracunan makanan,” katanya.
Bagi kes kanak-kanak berkenaan, katanya, JKNS bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan bagi memantau situasi dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Mohd Mifzal sebelum ini dilaporkan tidak datang ke sekolah pada 23 Julai lalu kerana keracunan makanan.
Sebelum ini, lebih 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di Kota Kinabalu disahkan mengalami keracunan makanan dipercayai akibat memakan nasi lemak.
Comments