Kanak-kanak istimewa di Rumah Kebajikan Seri Mengasih diceriakan rombongan UPKO
7 Disember 2024
KOTA KINABALU: Setiap kali menjelang musim perayaan, kebajikan golongan kurang bernasib baik tidak dilupakan pelbagai pihak yang prihatin.
Jumaat lalu, Rumah Kebajikan Seri Mengasih di Tanjung Aru yang menempatkan pelajar berkeperluan khas yang mengalami masalah kecacatan intelek, Autisme, paralisis, Sindrom Down dan Cerebral Palsy diceriakan menerusi penganjuran sambutan perayaan Hari Natal Rumah.
Acara ini dihadiri Bendahari-Agung
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dennison R Indang yang memenuhi jemputan menghadiri sambutan Krismas Rumah Kebajikan Seri Mengasih.
Pelajar berkeperluan khas di rumah kebajikan ini nyata ceria apabila menerima sumbangan 25 buah hamper yang diserahkan oleh Dennison kepada penghuni dan tenaga pengajar pusat Seri Mengasih.
Dennison yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Kinabalu merangkap pengerusi Persatuan Keusahawanan Cekap Sabah-PKCS berkata, acara tersebut memberi dirinya peluang baharu untuk mengukuhkan lagi usahanya untuk menyantuni rakyat di kawasan bandar.
Menurut Dennison, dia sebelum ini lebih banyak melibatkan diri dalam program-program komuniti di luar bandar, namun sejak dua tahun yang lepas dia mula memberi tumpuan untuk berkhidmat di kawasan bandar.
"Sejak 10 tahun lalu saya aktif di kawasan luar bandar, tetapi baru-baru ini dalam dua tahun saya aktif di kawasan bandar dan pinggir bandar.
"Dan pastinya ini adalah salah satu pusat (Seri Mengasih) yang saya fikirkan dan saya berharap untuk dapat memudahkan lebih banyak bantuan ke sini pada masa hadapan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian itu.
Dennison turut mengimbau semula kenangan ketika beliau baru mula bekerja dimana beliau pernah meluangkan masa sehari suntuk bersama kanak-kanak di pusat pembangunan khas itu.
"Ketika itu saya bersama Institut Jurutera Malaysia (Institution of Engineers of Malaysia-IEM) dibawah program masyarakat graduan muda. Sehari suntuk kami bersama anak-anak di sini.
"Dan walaupun saya tiada pengalaman langsung dengan kanak-kanak berkeperluan khas sebelum ini, namun saya mempunyai ahli keluarga dan kawan-kawan yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas," katanya sambil menyatakan beliau faham cabaran dihadapi ibubapa kepada anak-anak istimewa ini.
Dennison berkata beliau bersyukur kerana dijemput untuk turut terlibat dalam acara ini dan merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana sudi menjemputnya hadir.
Turut hadir, Pengerusi Kelab Rekreasi Cemerlang Sabah, Ronaldson R Indang serta rakan-rakan seperjuangan UPKO dari bahagian Kota Kinabalu dan Putatan.
Comments