Kanak-kanak lelaki ditemui dalam parit disahkan meninggal dunia
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

10 Disember 2025
TAWAU: Kanak-kanak lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam parit di kawasan Kg Tanjung Batu Darat - Taman Ria 9, semalam disahkan sudah meninggal dunia akibat lemas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, penemuan itu adalah hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa, 13, iaitu seorang murid sekolah swasta, di Unit Forensik Hospital Tawau.
Menurutnya, pihak menerima aduan kes itu sekitar jam 2.27 petang daripada seorang lelaki, 47, yang turut bertindak menghantar mangsa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas menemukannya di kawasan tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Bagaimanpun, katanya, mangsa disahkan sudah meninggal dunia.
Katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes kematian mengejut, berdasarkan siasatan awal dan pemeriksaan fizikal yang mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan.
Semalam, tular video, gambar dan rakaman suara yang mendedahkan penemuan kanak-kanak tersebut yang dikatakan hanya disedari selepas air dari saluran paip besar di kawasan itu, dilepaskan.
Pada awalnya, pekerja-pekerja yang membuka saluran paip besar untuk dibaiki akibat bocor sehingga mengakibatkan air melimpah dengan deras tidak menyedari kehadiran mangsa.
Kanak-kanak tersebut dipercayai dihanyutkan oleh arus deras air itu dan baharulah mangsa dilihat selang beberapa minit kemudian dalam keadaan tidak sedarkan diri.


















Comments