top of page

Kanak-kanak lelaki ketakutan dikejar jiran dengan parang

  • nabalunews
  • Oct 16
  • 1 min read

ACP Jasmin Hussin
ACP Jasmin Hussin

16 Oktober 2025


TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki, 11, dilaporkan ketakutan selepas dikejar jirannya sambil memegang sebilah parang dalam kejadian sekitar jam 6 pagi di Felda Umas, Kalabakan, semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa dikatakan berlari pulang ke rumah dalam ketakutan apabila melihat seorang lelaki warga tempatan, 48, menghampirinya dengan parang.


“Ibu mangsa yang panik sebaik dimaklumkan anaknya dikejar suspek berkenaan, segera membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan keluarga mereka,”katanya dalam kenyataan hari ini.


Jasmin berkata, susulan laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau melancarkan operasi dan berjaya menahan suspek.


Katanya, suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan di rumahnya di Felda Umas sekitar jam 5.30 petang, hari yang sama.


“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek membawa kepada rampasan sebilah parang bersarung yang dipercayai digunakan semasa kejadian, manakala, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu,”katanya.


Tambahnya, semakan rekod turut mendapati suspek mempunyai tiga kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah di Putrajaya, Bandar Baru Salak Tinggi dan Tawau.


Menurutnya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.


Mengulas lanjut, Jasmin berkata, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang mengugut atau mengancam keselamatan orang lain.


Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau bertindak agresif yang boleh mengancam keselamatan awam.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page