top of page

KAR Ultra Salur Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran Melangkap Kapa

  • nabalunews
  • 10 hours ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


24 Februari 2026


KOTA BELUD: Seramai 20 keluarga mangsa kebakaran di Melangkap Tiong menerima bantuan keperluan asas daripada pihak penganjur Kadamaian Adventure Race (KAR) Ultra dalam satu misi kemanusiaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Melangkap Tiong, semalam.


Bantuan yang disalurkan merupakan inisiatif jawatankuasa penganjur KAR Ultra bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam kejadian kebakaran pada Sabtu lalu.


Menurut Pengarah KAR Ultra, Javadius Bollah, sebanyak 20 set barangan keperluan asas telah diagihkan kepada keluarga terjejas yang kini ditempatkan di PPS tersebut.

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami selaku penganjur acara sukan. Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh mangsa kebakaran, khususnya dalam memenuhi keperluan asas harian. Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban mereka dan memberi sedikit keceriaan," katanya.


Set bantuan yang disalurkan merangkumi pelbagai barangan keperluan seperti tilam, bantal, sabun mandi, syampu, sabun kain, sabun cuci pinggan, dan tuala wanita.


Javadius turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi tersebut, termasuk barisan jawatankuasa yang komited memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Bendahari, Kamisah Laiti, Setiausaha, Esther Toihin, Penolong Setiausaha, Salbiah Eva Bakait, Pengurus Laluan, Timothy Lim, serta Pengurus Logistik, Alaysius Sindeh.-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page