top of page

Penjawat Awam Ditahan SPRM Disyaki Salah Guna Kuasa Bagi Kelulusan Rumah Mesra SMJ

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


24 Februari 2026


SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang penjawat awam lelaki yang disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua ahli keluarganya sebagai penerima bantuan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) meskipun didakwa tidak layak semalam.


Suspek yang berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi tadi sejurus selesai memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan. Penahanan tersebut dibuat hasil siasatan berhubung integriti agihan program bantuan perumahan negeri.


Menurut sumber, kes itu dipercayai berlaku pada tahun 2022 apabila suspek yang mempunyai kuasa untuk mengesyorkan penerusi, didakwa menggunakan kedudukannya untuk meluluskan nama bapa mentua dan adik iparnya bagi menerima manfaat rumah berkenaan. Kedua-dua unit rumah yang dibangunkan untuk keluarga berkenaan dilaporkan siap dibina pada tahun 2023.


Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati sehingga tahun 2025, rumah-rumah tersebut masih lagi terbiar dan tidak didiami. Perkara ini menimbulkan keraguan terhadap kelayakan sebenar penerima serta menjejaskan objektif asal program yang bertujuan membantu golongan benar-benar memerlukan.


Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. Beliau memaklumkan bahawa kes ini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan salah guna kuasa untuk kepentingan diri atau orang lain.


Suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Sandakan hari ini bagi menghadapi pertuduhan berhubung kesalahan tersebut.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page