Karnival Bakat Platform Cungkil Potensi Diri Kanak-Kanak – Ewon
- nabalunews
- 21 hours ago
- 2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 28 Ogos: Karnival Bakat dan Kreativiti Kebangsaan 2026 bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya menjadi platform penting dalam mencungkil bakat serta mengembangkan potensi diri kanak-kanak.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, program seumpama itu turut membantu membina keyakinan diri, mengembangkan kreativiti serta memupuk interaksi positif dalam kalangan kanak-kanak.
“Karnival ini bukan sekadar pertandingan, tetapi satu platform untuk mencungkil bakat, membina keyakinan diri, mengembangkan kreativiti dan memupuk interaksi positif dalam kalangan kanak-kanak.
“Jangan takut untuk mencuba dan jangan takut melakukan kesilapan kerana setiap pengalaman yang diperoleh jauh lebih berharga daripada kemenangan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Jeremy @ Ukoh Malajad pada Majlis Penutupan Karnival Bakat dan Kreativiti Kebangsaan 2026 Peringkat Daerah Kota Belud di Dewan Serbaguna Tadika Lok Yuk, di sini, semalam.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud, Persatuan Permuafakatan Pendidikan Swasta Kota Belud, para guru dan ibu bapa atas komitmen serta sokongan dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau berkata, kerjasama semua pihak penting dalam menyediakan ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk mengembangkan bakat serta potensi mereka sejak peringkat awal.
Karnival anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Swasta, PPD Kota Belud dengan kerjasama Jawatankuasa Induk Karnival Peringkat Daerah itu mempertandingkan pelbagai kategori termasuk mewarna, melukis dan kraf, hafazan, bercerita dan storytelling, nyanyian solo, action song, peragaan pakaian tradisi Malaysia serta tarian etnik kontemporari.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan Koir Johan SRA sebelum diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi setiap kategori termasuk hadiah terbaik keseluruhan.
Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Rosmin Ijum yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Dr Japran Hj. Kusin; Pengerusi Persatuan Permuafakatan Pendidikan Swasta Kota Belud merangkap Guru Besar Tadika Lok Yuk, Angelo Teo Sieh Nee; ketua-ketua bahagian PPD; pengetua dan guru besar sekolah swasta; wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta ibu bapa peserta.















Comments