Karnival bola sepak Hari Malaysia pupuk semangat nasionalisme
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Karnival bola sepak Hari Malaysia pupuk semangat nasionalisme


16 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Karnival bola sepak Hari Malaysia 2023 anjuran Tuubagu Football Academy Penampang (TFA Penampang) tingkatkan semangat bersukan dan pupuk semangat nasionalisme.


Karnival tersebut telah berlangsung di Padang B, Kompleks Sukan Penampang, pada hari Sabtu.


Menurut Pengerusi Penganjur TFA Penampang, Freddy Pamaas, objektif utama penganjuran ini adalah untuk memberikan pendedahan awal pertandingan bola sepak kepada para peserta sekaligus meningkatkan kemahiran bermain bola sepak.


"Selain itu, karnival itu juga bertujuan memberi peluang kepada para peserta TFA Penampang untuk menyertai pertandingan bola sepak. Kami juga ingin memupuk semangat nasionalisme dan persaingan sihat di kalangan para pelatih sempena sambutan Hari Malaysia," katanya.

Karnival tersebut telah dirasmikan oleh Carl Mosoom, Setiausaha Politik kepada Menteri Keusahawanan dan Koperasi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.


Seramai 150 peserta TFA Penampang terlibat dalam karnival ini dengan dua pasukan jemputan iaitu Miruru FC dan UMFC.


Karnival ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu U8, U10 dan U12.


Dalam Kategori U8, Miruru FC dinobatkan sebagai juara, manakala TFA Penampang memenangi tempat kedua dan ketiga. Bagi kategori U10 pula, Miruru FC sekali lagi merangkul tempat pertama, UMFC di tempat kedua, dan TFA Penampang di tempat ketiga. Manakala bagi kategori U12, TFA Penampang berada di tempat pertama , SAGA GIRL Penampang tempat kedua , dan UMFC di tempat ketiga.


“Saya berharap, melalui penganjuran karnival ini, semua peserta TFA Penampang dapat menimba ilmu sukan bola sepak serta mendapat pendedahan awal tentang pertandingan bola sepak.


"Dalam pada itu, saya juga berharap agar para peserta juga dapat memupuk semangat bersukan serta mengamalkan persaingan sihat semasa bersukan,” katanya.

Tuubagu Football Academy Penampang (TFA) telah ditubuhkan di Penampang pada 27 Mei lalu, dan telah di rasmikan oleh Datuk Ewon Benedick. Pengerusi Tuubagu adalah Gideon Gadit dan Freddy Pamaas.

bottom of page