Karnival Kimia Malaysia 2025 Perkasa STEM, Subur Minat Pelajar Terhadap Bidang Kimia
- nabalunews
- 19 minutes ago
- 2 min read

22 Disember 2025
KOTA KINABALU: Usaha memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam bidang kimia, terus diperkukuh menerusi penganjuran Karnival Kimia Malaysia (K2M) 2025 Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin baru-baru ini.
Karnival anjuran Institut Kimia Malaysia (IKM) Cawangan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan itu telah menghimpunkan kira-kira 300 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga, selain guru-guru, warga pendidik, wakil agensi kerajaan dan pihak industri.
Perasmian K2M 2025 yang turut mendapat kerjasama dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta SMK Badin Tuaran telah disempurnakan oleh Dato’ ChM Dr. Yew Chong Hooi yang mewakili Presiden Institut Kimia Malaysia, Datuk ChM Dr. Soon Ting Kueh.

Pengarah Program K2M 2025, Profesor Madya Dr. Mohd. Sani Sarjadi berkata penganjuran karnival tersebut bertujuan mendekatkan ilmu kimia kepada pelajar sekolah melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan berasaskan pengalaman.
“Kimia sering dilihat sebagai subjek yang sukar, sedangkan ia sangat dekat dengan kehidupan seharian.
Pendekatan menyeronokkan mampu mencetuskan minat pelajar terhadap sains,” katanya.

Tambah beliau, K2M bukan sekadar pameran atau demonstrasi eksperimen, sebaliknya platform pembelajaran di luar bilik darjah yang selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21, termasuk pemikiran kritikal dan kreativiti.
Sepanjang penganjuran, pelajar berpeluang menyertai 10 eksperimen dan aktiviti kimia seperti sleeping dragon and chemical chameleon, burning money, boom and glow, invisible fire, ink chromatography, fireproof balloons, colour separation, extinguish and reignition, rainbow milk serta elephant toothpaste.
Aktiviti tersebut dirangka bagi menerangkan konsep asas kimia secara visual dan mudah difahami, selain menekankan aspek keselamatan serta merangsang rasa ingin tahu pelajar.
Karnival turut menampilkan ceramah ilmiah bertemakan Green Environment, From River to Tap: The Chemistry Behind Clean Water dan Chemicals in Our Daily Life yang mengetengahkan peranan kimia dalam kelestarian alam sekitar dan kehidupan harian.
Menurut Sani, bidang kimia moden memainkan peranan penting dalam menangani isu global termasuk pencemaran alam sekitar, pengurusan air, tenaga bersih dan kesihatan awam.
“Kimia hijau membantu memastikan pembangunan hari ini tidak menjejaskan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Selain pengisian akademik, karnival itu turut dimeriahkan dengan pameran kerjaya melibatkan Kolej Matrikulasi Labuan, Jabatan Kimia Malaysia, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), SIRIM Berhad, Perpustakaan Negeri Sabah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Pameran tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai laluan pendidikan, peluang kerjaya serta peranan profesional dalam bidang sains dan kimia.














