Kastam Sabah sita kapal cuba bawa keluar 100,000 liter petrol bersubsidi secara haram
- nabalunews
- Dec 10, 2024
- 1 min read

10 Disember 2024
SANDAKAN: Cubaan sebuah kapal kargo tempatan untuk membawa keluar 111,391 liter minyak petrol bersubsidi secara haram melalui perairan Sabah berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah baru-baru ini.
Penolong Ketua Pangarah Kastam, Zon Sabah, Siti Mang berkata penahanan kapal itu dibuat jam 7.48 malam pada 19 November lalu, hasil maklumat yang disalurkan oleh Cawangan Risikan Zon Sabah.
Katanya anggota kastam Cawangan Penguatkuasaan Lahad Datu dan Sandakan membuat serbuan ke atas sebuah kapal kargo tempatan.
Seorang juragan warga Malaysia juga turut ditahan bagi membantu siasatan.
Minyak petrol yang dirampas dianggarkan bernilai RM228,351.55 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM66,834.60.
Sementara kapal kargo tempatan yang disita itu pula dianggarkan bernilai RM250,000 dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM545,186.15.
Katanya kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967.
Siti berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Marin Kastam, JDKM Sandakan, hari ini.
Pihaknya meminta orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat kepada JKDM mengenai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara dalam usaha jabatan itu memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.
Katanya kegiatan ini bukan hanya merugikan negara, malah mendatangkan ancaman keselamatan kepada negara serta kesejahteraan rakyat.
Siti berkata orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri untuk menyalurkan maklumat berkaitan.
Comments