Kawasan luar bandar bakal terima manfaat 50 VSAT baharu
13 Ogos 2021
KUDAT: Penduduk di luar bandar khususnya di pedalaman bakal menerima manfaat daripada 50 Very Small Aperture Terminal (VSAT) baharu yang akan diletakkan di lokasi yang telah dikenal pasti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, 'VSAT Connect Me Now' merupakan salah satu inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah bagi memberikan akses internet buat masyarakat di kawasan pedalaman.
"Pemasangan perkhidmatan teknologi satelit ini dimulakan tahun ini dan antara tujuh lokasi yang dikenal pasti terletak di daerah Kudat.
"Tapak pemasangan VSAT di Kudat adalah Kampung Andap, Kampung Popot, Kampung Bak Bak, Kampung Bingolon Laut, Kampung Gumandong, Kampung Rampai dan Hutan Simpan Loro," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Pelancaran Bantuan Ihsan Komputer Kepada Pelajar (BAIK), Pemasangan Perkhidmatan VSAT Connect Me Now dan Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) di sini, pada Khamis.
Pada majlis itu, Hajiji menyempurnakan simbolik penyerahan 10,000 buah komputer riba untuk diagihkan di seluruh Sabah iaitu 9,842 untuk sekolah menengah kebangsaan dan 158 untuk pelajar sekolah menengah agama negeri.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan cek berjumlah RM144,000 daripada kerajaan negeri untuk diberikan kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) iaitu RM2,000 seorang bagi 72 pelajar cemerlang.
Hadir sama, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakubah Khan, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim dan Pegawai Daerah Kudat, Bakri Nanun.
Comments