Kayu Seraya Bernilai RM30,350 Dirampas
- nabalunews
- May 14
- 1 min read

14 Mei 2025
KOTA KINABALU: Cubaan dua lelaki menyeludup keluar kayu seraya bergergaji pelbagai ukuran berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.
Semua kayu yang dibawa menggunakan bot laju itu berjaya dikesan dalam operasi kira-kira jam 1.30 pagi itu yang dijalankan Pasukan Serbuan PPM Semporna.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, sebaik dikesan, pasukan operasi terus menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan dikendalikan oleh lelaki tempatan berusia 41 dan seorang warga asing berusia 42 tahun.
“Pasukan Serbuan PPM Semporna mengesan sebuah bot laju berwarna hijau yang sedang menunda beberapa kayu begergaji.
“Hasil pemeriksaan mendapati kayu bergergaji pelbagai ukuran, jenis kayu Seraya dipercayai dicuri dari hutan simpan Pulau Timbun Mata,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua kayu dan bot termasuk enjin 40 kuasa kuda yang dirampas dianggarkan bernilai RM30,350.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Enakmen Perhutanan 1968 dan Seksyen 6(1)(c) 1959/63 Akta Imigresen.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, PPM berjaya merampas 663 kilogram minyak masak bersubsidi dalam operasi di Laut Kampung Panji, Semporna.
Semua minyak masak itu dikesan ditinggalkan di dalam sebuah bot laju yang diikat pada jeti di kampung berkenaan.
Nazri berkata, semua barang kawalan tersebut dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan dua enjin berkuasa kuda 40 serta 85 kuasa itu dianggarkan bernilai RM62,014.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit yang sah,” katanya.
Comments