KDN pandang serius insiden serangan terhadap anak Rafizi
- nabalunews
- Aug 14, 2025
- 1 min read

14 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius insiden serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, di Putrajaya semalam.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Perlu saya tegaskan, siasatan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang tanpa dipengaruhi status atau latar belakang mana-mana pihak, selaras dengan peranan PDRM memastikan keselamatan rakyat termasuk kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau turut menegaskan keselamatan rakyat adalah keutamaan kerajaan, dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman.
Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan mengikut undang-undang.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, beliau secara peribadi telah menghubungi Rafizi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan menyampaikan rasa simpati dan keprihatinan terhadap keluarga berkenaan.
Terdahulu, Rafizi dalam satu kenyataan di media sosial pada Rabu memaklumkan anaknya telah diserang secara fizikal oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada petang Selasa.
Menurutnya, ketika kejadian, anaknya berada bersama isteri beliau dan diserang secara tiba-tiba oleh seorang lelaki yang mengheretnya sebelum mencucuk dengan jarum suntikan ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan kawasan tersebut.
“Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal,” katanya.
Rafizi berkata, sepanjang menjadi ahli politik berprofil awam, ini kali pertama keluarganya menjadi sasaran serangan dan ugutan.


















Comments