KDNK Malaysia melonjak 5.7 peratus
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

16 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku keempat (S4) 2025 melonjak 5.7 peratus sekali gus membawa pertumbuhan ekonomi bagi tahun penuh 2025 kepada sekitar 4.9 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan itu mengatasi julat unjuran rasmi kerajaan antara 4 hingga 4.8 peratus.
Menurutnya, prestasi tersebut mencerminkan ketahanan ekonomi negara meskipun berdepan cabaran luaran termasuk kesan tarif timbal balik Amerika Syarikat pada tahun lalu.
"Meski Malaysia turut merasakan bahang tarif timbal balik, reformasi ekonomi di bawah Kerajaan MADANI memastikan kesannya tidak membebankan rakyat terbanyak.
"Subsidi terus disasarkan kepada golongan yang memerlukan, menjadi tongkah yang memelihara kuasa beli rakyat jelata," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook hari ini.
Beliau berkata, hubungan diplomatik diperkukuh dengan pelbagai negara turut menambah keyakinan untuk merancakkan pelaburan langsung asing serta perdagangan dengan Malaysia.
Ujarnya, kerangka Ekonomi MADANI akan terus menjadi pedoman dalam memperhebat iltizam pembaharuan ke arah ekonomi yang lebih adil, berdaya tahan, dan lestari.


















Comments