Kebakaran dapur kedai makan di Sandakan
- nabalunews
- Sep 25, 2024
- 1 min read

25 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Sebuah bangunan yang menempatkan kedai makan terbakar di bahagian dapur dalam kejadian di Bandar Indah, Sandakan, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Severinus Sainkui, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.15 pagi.
Katanya sepasukan 16 anggota bersama 2 jentera pemadam api dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Sandakan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi memadamkan kebakaran.
"Kebakaran melibatkan sebuah bangunan kedai makan jenis kekal berkeluasan 55 meter persegi, terbakar 15% dibahagian dapur," katanya dalam kenyataan hari ini.
Severinus berkata, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera bomba. Api juga berjaya dikawal dari merebak ke kawasan berdekatan.
Tiada mangsa terlibat dilaporkan. Manakala punca dan anggaran kerugian masih disiasat.
"Setelah memastikan tiada bahaya lain dilokasi, operasi bomba ditamatkan pada jam 4.48 pagi," katanya.
Comments