• Wartawan Nabalu News

Kejohanan Badminton Flypower Tertutup Remaja Sabah 2022 bermula 10 Feb


Janih Bangud

3 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Badminton Sabah (SBA) akan menganjurkan Kejohanan Badminton Flypower Tertutup Remaja Sabah 2022 selama empat hari bermula 10 Februari ini, di Dewan Kompleks Sukan Keningau.


Presidennya Janih Bangud berkata, kejohanan itu bertujuan mencungkil bakat dan memilih wakil pemain remaja Sabah ke Junior Elite Tour 2022.


“Sebanyak 12 kategori akan dipertandingkan pada kejohanan ini iaitu kategori perseorangan dan bergu bagi lelaki dan perempuan berumur bawah 12 tahun, 14 tahun dan 16 tahun.


“Hanya individu yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera dibenarkan menyertai kejohanan ini,” katanya.


Janih berkata, SBA berkuasa mutlak ke atas semua proses pemilihan pemain dan penggabungan pasangan bergu.


“Dengan menyertai kejohanan ini, para pemain, ibu bapa, jurulatih dan pasukan yang mendaftar bersetuju mematuhi semua peraturan kejohanan ini,” katanya.


Beliau berkata, semua pemain yang berjaya memasuki pusingan separuh akhir akan menerima hadiah berupa pingat, peralatan sukan dan sijil.


“Bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) kehadiran penonton atau penyokong ke dalam dewan perlawanan tidak dibenarkan kecuali jurulatih dan pengurus pasukan dengan syarat telah lengkap dua dos vaksin dan memakai pelitup muka sepanjang perlawanan,” katanya.


Tarikh tutup penerimaan penyertaan adalah pada 4 Februari ini.