- Wartawan Nabalu News
Kejohanan Badminton Flypower Tertutup Remaja Sabah berlangsung tanpa penonton

14 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Seramai 316 peserta mewakili 22 daerah seluruh Sabah menjayakan Kejohanan Badminton Flypower Tertutup Remaja Sabah 2022, di Dewan Kompleks Sukan Keningau.
Kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula 10 Feb lalu itu mempertandingkan 12 kategori iaitu kategori perseorangan dan bergu bagi lelaki dan perempuan bawah 12 tahun, 14 tahun dan 16 tahun.
Presiden Persatuan Badminton Sabah (SBA) Janih Bangud berkata, walaupun kejohanan itu dijalankan tanpa kehadiran penonton bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) namun ia masih berjalan lancar.
Beliau berharap para pemenang dapat meneruskan latihan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Badminton 100plus Junior Elit Tour bagi Group C di Perlis, Mei depan.
“Terima kasih kepada semua peserta yang menjayakan kejohanan ini. Saya berharap para pemenang terus berlatih dan kepada yang belum menang, jangan putus asa kerana masih banyak peluang pada masa akan datang,” katanya semasa majlis penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan itu, di sini, semalam.
Janih turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk penaja utama Flypower, MSNS, LSNS, Majlis Daerah Keningau, Petugas Hospital Keningau, Rela, ibu bapa, para pengurus dan jurulatih atas sokongan padu menjayakan kejohanan ini.
Kejohanan itu bertujuan mencungkil bakat dan memilih wakil pemain remaja Sabah ke Junior Elite Tour 2022.
Sementara itu Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah Osman Aganduk yang turut hadir sebagai tetamu kehormat menaruh harapan tinggi agar lebih ramai pemain badminton remaja di negeri ini diserap sebagai pemain kebangsaan.
“Tahniah kepada para pemenang. Teruskan latihan kamu sebagai persediaan mewakili Sabah ke Perlis. Cuba yang terbaik, mudah-mudahan ramai pemain badminton remaja negeri ini berjaya diserap sebagai pemain kebangsaan,” katanya.