Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah di Kampung Kebayau: Achoi FC Dinobatkan Juara
- nabalunews
- Sep 21
- 1 min read

21 September 2025
KOTA BELUD: Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah anjuran Belia Kampung Kebayau telah berlangsung dengan jayanya di padang Kampung Kebayau pada 20 September 2025. Program ini berjaya menarik penyertaan pasukan-pasukan tempatan sekaligus mencetuskan suasana meriah serta memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis Perasmian Penutupan kejohanan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin, yang hadir mewakili ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick. Dalam ucapannya, beliau menyampaikan penghargaan kepada pihak penganjur atas penganjuran kejohanan yang dianggap mampu meningkatkan semangat kesukanan dan perpaduan belia.
“Syabas dan tahniah kepada Belia Kampung Kebayau atas penganjuran kejohanan ini. Inisiatif sebegini bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, tetapi turut mengukuhkan kerjasama dan setiakawan dalam kalangan belia,” katanya.

Pertandingan menyaksikan persaingan yang sengit sehingga ke peringkat akhir, dengan pasukan Achoi FC muncul sebagai juara kejohanan. Pasukan SMKN FC pula meraih gelaran naib juara, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Osiok FC.
Pengerusi penganjur, Rainotty Sapikit, menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan, khususnya kepada Ewon yang sentiasa bersama dalam mendokong aktiviti belia.
“Sokongan berterusan ini amat kami hargai kerana ia memberi dorongan besar dalam melaksanakan kejohanan,” ujarnya.

Kejohanan ini turut diperkukuhkan dengan kerjasama pengerusi bersama, iaitu Danny Sabun, Erik Saibun dan Beinddy Midih, yang memastikan kelancaran program.
Turut hadir pada majlis penutupan ialah Setiausaha Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, Joel Deukin, serta Bendahari Pemuda UPKO Kota Belud, Stanley Musa, yang mengiringi Carlye sepanjang acara.
Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform pertandingan sukan, malah turut berfungsi sebagai wahana memperkukuh perpaduan serta membina jaringan sosial yang lebih erat dalam kalangan belia dan masyarakat di Kota Belud.


















Comments