Kekalkan dan perkasakan autonomi PH Sabah: Pemuda UPKO
top of page
  • nabalunews

Kekalkan dan perkasakan autonomi PH Sabah: Pemuda UPKO

Felix

22 Oktober 2023


KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UPKO menuntut agar Pakatan Harapan (PH) Sabah mengekalkan kuasa autonomi sepenuhnya dalam menentukan halatuju parti-parti gabungan PH Sabah.


Autonomi berkenaan bukan sahaja perlu dikekalkan tetapi seharusnya terus diperkasakan dari semasa ke semasa.


Ketua Pemuda UPKO Pusat, Felix Joseph Saang berkata, penurunan kuasa kepada pimpinan PH negeri dalam menentukan hala tujunya amat wajar seperti disarankan Presiden Parti UPKO, Datuk Ewon Benedick.


Katanya, perkara itu perlu diteruskan bagi memastikan segala perancangan atau strategi sampai kepada sasaran perjuangan.


“Pemuda UPKO menyokong penuh agar PH diberikan kuasa autonomi dalam menentukan hal tuju di Sabah.


“Ini kerana sudah pastinya kita lebih memahami dan lebih mengetahui keadaan serta situasi sebenar di Sabah,”katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UPKO Pusat di Ibu Pejabat UPKO.


Felix berkata, pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, PH Sabah diberikan autonomi atau kuasa untuk menentukan strategi, calon-calon dan dan agihan kawasan atau kerusi.


Justeru itu katanya, ia perlu diteruskan dengan diberi kuasa sepenuhnya dalam menentukan halatuju politik di Sabah.


“Apa yang penting PH Sabah akan memberikan sokongan penuh yang tidak berbelah bagi kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh PH itu sendiri.


Sementara itu, mengulas perkara lain, Felix berkata, pimpinan kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus berlaku adil dari segi agihan jawatan dan peruntukan di setiap kawasan.


“Saya akui UPKO hanya mempunyai satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) buat masa ini.


“Tetapi perlu diingat, tanpa sokongan DUN Kadamaian ketika GRS bergolak, segala kemungkinan boleh berlaku kepada kerajaan GRS ketika itu,” katanya.


Felix berkata, sekiranya wakil rakyat dari UPKO boleh laksanakan agihan jawatan, beliau tidak melihat mengapa ia tidak boleh dilakukan GRS.


"Kalaupun agihan jawatan 60:40 tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya oleh pimpinan GRS, tetapi berilah tempat dan ruang kepada PH mengikut kesesuaian kawasan masing-masing," kata Felix.


“Ini sebenarnya bergantung kepada keinginan politik, keikhlasan, sikap hormat-menghormati dan kesanggupan untuk berkongsi serta kejujuran,” ujarnya.


Felix juga berkata, semua parti dalam kerajaan ketika ini perlu menyerlahkan komitmen dalam menyelesaikan isu rakyat termasuk ekonomi demi masa depan negara.

Tags:

bottom of page