top of page

Kelab Bola Sepak SK Tamu Darat Terima Sumbangan Dana daripada Ewon

  • nabalunews
  • Jul 5, 2025
  • 2 min read

5 Julai 2025


KOTA BELUD: Kelab Bola Sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Tamu Darat, Kota Belud, menerima sokongan dana daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, sebagai usaha menyokong penyertaan pasukan tersebut dalam dua kejohanan bola sepak peringkat bawah 10 tahun yang bakal berlangsung di daerah Kota Belud dan Kota Marudu.


Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, yang mewakili Ewon, kepada wakil rasmi kelab, Bernard Wilson Simpat.


Menurut Bernard, sumbangan tersebut akan digunakan bagi menampung perbelanjaan seramai 15 orang murid serta empat orang pengiring yang akan mewakili sekolah dalam Kejohanan Bola Sepak Bawah 10 Tahun Peringkat Daerah Kota Belud, yang dijadualkan berlangsung pada 5 dan 6 Julai 2025 di Padang Sekolah Menengah Arshad, Kota Belud.


Selain itu, pasukan berkenaan juga akan menyertai Karnival Kejohanan Bola Sepak TKFC Bawah 10 Tahun Terbuka Sabah 2025, yang bakal berlangsung pada 12 dan 13 Julai 2025 di Padang Pekan Kota Marudu. Kejohanan tersebut dijangka menghimpunkan pasukan-pasukan dari seluruh negeri dalam usaha mencungkil bakat muda dalam arena bola sepak.


Bagi pihak kelab, Bernard merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan di peringkat akar umbi di kawasan Kadamaian.


“Sumbangan ini amat bermakna dan memberikan motivasi kepada anak-anak murid kami untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan,” ujarnya.


Sementara itu, Saikom turut menyampaikan pesanan dan semangat daripada Ewon kepada pasukan agar terus berjuang dengan penuh dedikasi serta menjadikan penyertaan ini sebagai landasan untuk memupuk nilai disiplin, kerjasama dan semangat kesukanan sejak di peringkat sekolah rendah.


Inisiatif ini memperlihatkan komitmen kepimpinan tempatan terhadap pembangunan sahsiah generasi muda melalui penyertaan aktif dalam sukan, di samping memperkukuh semangat kebersamaan dan kecemerlangan dalam kalangan komuniti setempat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page