Kelab Kebajikan Kadamaian hulur sumbangan kepada mangsa kebakaran di Narinang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kelab Kebajikan Kadamaian hulur sumbangan kepada mangsa kebakaran di Narinang


Shainim (tiga dari kiri),Dr.Rizoh (dua kiri) dan ahli kelab menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga mangsa kebakaran.

18 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Kelab Kebajikan Kadamaian menyalurkan sumbangan berupa makanan asas, keperluan kebersihan diri dan pakaian terpakai kepada keluarga mangsa kebakaran di Kg.Narinang, kelmarin.


Pengerusi kelab itu Shainim Epin berkata, sumbangan itu disumbangkan oleh ahli-ahli kelab.


“Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kelab dibawah Program Ziarah Kasih, bagi meringankan bebanan keluarga mangsa kebakaran.


“Kami terdorong untuk membantu setakat yang mampu sebab kita adalah sebuah keluarga dan komuniti di Kadamaian. Kita turut berduka dengan musibah yang berlaku kepada keluarga terlibat,” katanya kepada Nabalu News.


Shainim berharap, kehadiran mereka dapat memberi sokongan emosi kepada keluarga itu dalam menghadapi musibah.


Mangsa adalah seorang balu dan warga emas difahamkan tinggal bersama seorang anak lelaki dan seorang cucu perempuan berusia 14 tahun yang masih bersekolah di SMK Narinang.


Sementara itu Timbalan Pengerusi Kelab Dr.Rizoh Bosorang yang turut serta dalam program itu mengingatkan agar komuniti Kadamaian sentiasa berhati-hati ketika ingin membakar sampah atau membersihkan belukar, terutamanya dalam keadaan cuaca yang panas ketika ini.


“Saya difahamkan kebakaran berlaku dengan begitu cepat sehingga ahli keluarga tidak sempat menyelamatkan barang berharga termasuk dokumen pengenalan diri.


“Sungguh pun, ahli keluarga yang terlibat tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan, termasuk pengenalan diri, namun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. Walau bagaimana pun, Puan Dolim masih dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil,” katanya.


Beliau berkata, pihak kelab juga mengalu-alukan sumbangan kecemasan dari pelbagai pihak sama ada melalui badan komuniti atau orang perseorangan, bagi meringankan beban dan sebagai sokongan kepada mangsa kebakaran untuk terus berjuang dan memulihkan kembali semangat menjalani kehidupan harian.

bottom of page