Keluarkan pekeliling jelas, elak guru jadi alat politik: Cuepacs
top of page
  • Farah Salim

Keluarkan pekeliling jelas, elak guru jadi alat politik: Cuepacs


Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

24 Jan 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bimbang, kebenaran kepada guru sekolah di seluruh negara dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) untuk berpolitik disalah erti pihak tertentu sehingga menjadikan penjawat awam sebagai alat politik.


Sehubungan itu, Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berharap, guru, kakitangan KEMAS dan penjawat awam lain tidak diarahkan untuk bekerja bagi tujuan politik.


Katanya, CUEPACS bimbang sekiranya kebenaran itu disalah guna atau disalah erti oleh pihak tertentu hingga menjadikan penjawat awam sebagai alat politik, diugut dan sebagainya.


Beliau berkata, perkara itu pernah terjadi, terutama membabitkan kakitangan KEMAS yang pernah dituduh membantu kerajaan terdahulu, sedangkan setiap tugas dilakukan dengan profesional dan penuh tanggungjawab.


"Tambahan pula, status kontrak kakitangan KEMAS menyebabkan mereka mudah untuk diugut atau dianiaya sekiranya berlaku peralihan kuasa kelak atau enggan melaksanakan aktiviti politik seperti diarahkan pihak tertentu.


“Kita berharap kerajaan memberikan taraf jawatan tetap kepada kakitangan KEMAS selari kebenaran kerajaan untuk membenarkan mereka ini berpolitik. Penjawat awam lain yang dibenarkan berpolitik seperti guru adalah kakitangan tetap dan mereka tidak cenderung untuk dianiaya atau diugut berdasarkan status tetap," katanya dalam kenyataan kelmarin.


Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, guru sekolah di seluruh negara dan petugas KEMAS dibenarkan untuk berpolitik, berkuat kuasa serta-merta.


Perkara itu diputuskan Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang untuk berpolitik.


Adnan turut menyambut baik keputusan itu dan berharap kementerian berkenaan membentangkan pekeliling secara jelas.


Katanya, kerajaan perlu mengeluarkan pekeliling jelas bagi mengelak salah tafsir masyarakat terhadap penjawat awam dan sekali gus memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan.


“Pekeliling yang jelas mengenai perkara ini perlu dibentangkan terlebih dahulu,” katanya.

Tags:

bottom of page