Kementerian Pertahanan umum empat pelantikan pegawai kanan ATM
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 1 min read

20 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan pelantikan empat jawatan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Pelantikan itu melibatkan empat jawatan utama ATM, iaitu Ketua Staf Markas ATM, Panglima Angkatan Bersama, Timbalan Panglima Tentera Darat dan Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS).
Menurut MINDEF, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Januari telah memperkenan pelantikan pegawai-pegawai kanan berkenaan bagi mengisi beberapa jawatan utama ATM, selepas menimbang syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-632 yang bersidang pada 7 Januari lepas.
“Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri dilantik sebagai Ketua Staf Markas ATM, manakala Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama.
“Selain itu, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dan dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat sementara Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin TUDM dilantik Ketua Eksekutif MiDAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, MINDEF menegaskan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih merupakan teras utama kepimpinan ATM serta ekosistem pertahanan negara.
Dalam konteks ini, katanya, kepimpinan utama ATM bukan sahaja bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi, malah memikul amanah untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara, tanpa kompromi.
Menurutnya, barisan kepimpinan baharu ini diyakini mampu memikul harapan besar ini serta berkeupayaan memberikan khidmat dengan penuh wibawa, integriti dan profesionalisme.


















Comments