Kem Kepimpinan APPGM-SDG Perkasa 30 Belia Telupid Sebagai Pemimpin Masa Hadapan
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
TELUPID, 6 Ogos - Seramai 30 pelajar Tingkatan Enam Rendah dan Tingkatan Enam Atas dari daerah Telupid berjaya menamatkan Kem Kepimpinan dan Pembangunan Belia APPGM-SDG 2026 yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Institut Perkhidmatan Sosial (IPS), Telupid, bermula 31 Julai hingga 2 Ogos lalu.
Program anjuran yang dikendalikan Persatuan Belia Kampung Wonod, itu bertujuan memperkasakan golongan belia menerusi pembangunan kepimpinan, pembentukan sahsiah, pengukuhan jati diri, semangat kesukarelawanan serta penghayatan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan.

Pengarah Program, Emmanuel Atin, berkata kem berkenaan menjadi platform penting dalam melahirkan generasi pemimpin muda yang berdaya saing, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Katanya, program itu bukan sahaja memberi pengetahuan, malah membentuk keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan.

“Ia juga memberi pendedahan serta menambah kebolehan peserta membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dalam pelbagai situasi.
“Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti sembilan modul utama meliputi refleksi kendiri, menghormati kepelbagaian, perpaduan dan masyarakat multikultural, alam sekitar serta SDGs, khidmat komuniti, laluan pendidikan alternatif, kenegaraan, kepimpinan, pembinaan pasukan dan perancangan masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, pendedahan SDGs turut membantu peserta memahami peranan individu dan komuniti dalam menyokong agenda pembangunan mampan.
Ia khusus berkaitan SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).
“Pelaksanaan kem turut diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik dengan Pejabat Pendidikan Daerah Telupid/Tongod, Unit Psikologi Sabah, Unit Psikologi Klinik Kesihatan Telupid, Unit Psikologi Hospital Sandakan serta Unit Psikologi Hospital Ranau yang memberikan input dan bimbingan kepada peserta sepanjang program,” katanya.
Emmanuel berkata, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan peserta, pihak penganjur turut menyampaikan beberapa anugerah kepada individu yang menunjukkan prestasi, disiplin, komitmen serta ciri kepimpinan terbaik sepanjang kem berlangsung.
Katanya, penganjuran kem itu diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan lebih ramai pemimpin muda di Telupid yang berkeyakinan, berintegriti, berdaya tahan serta bersedia memainkan peranan aktif dalam memacu pembangunan sosial, ekonomi dan kesejahteraan komuniti pada masa hadapan.
Terdahulu, Ashley Cheong Sue Jing dinobatkan sebagai penerima Anugerah Peserta Wanita Terbaik Keseluruhan, manakala Gospel Eternity Philip dipilih sebagai Anugerah Peserta Lelaki Terbaik Keseluruhan.
Majlis penangguhan Kem Kepimpinan dan Pembangunan Belia APPGM-SDG 2026 telah disempurnakan oleh Ketua Wilayah Sabah APPGM-SDG, Mc Jeanet Lempisik.











