Kem Perubatan MERCY Malaysia di Kg Baba Ringankan Beban Penduduk Luar Bandar
- nabalunews
- Jul 29
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
TELUPID, 29 Julai – Seramai lebih 200 penduduk Kampung Baba dan kawasan sekitar telah menerima perkhidmatan kesihatan percuma dalam satu kem perubatan yang dianjurkan oleh Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia atau dikenali sebagai MERCY Malaysia di Dewan Pisompuruan Kampung Baba, 25 Julai lalu.
Kem selama sehari itu menyasarkan komuniti luar bandar yang sebelum ini terpaksa menempuh jarak sejauh 31 kilometer ke Klinik Kesihatan Telupid bagi mendapatkan rawatan asas.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baba, Andrew Peter Parantis, berkata inisiatif ini bukan sahaja memudahkan akses kesihatan malah membantu mengurangkan kos dan masa perjalanan penduduk.

"Ini adalah kali pertama kem perubatan sebesar ini diadakan di kampung kami. Penduduk sangat teruja kerana sebelum ini mereka terpaksa ke Telupid untuk rawatan, apatah lagi bagi warga emas dan ibu-ibu yang mempunyai anak kecil," katanya.
Kem perubatan yang berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 4 petang itu menyediakan pelbagai perkhidmatan antaranya pemeriksaan kesihatan am, rawatan pergigian termasuk cabut gigi, tampal dan pembersihan gigi, serta saringan mata dengan pemberian cermin mata secara percuma bagi pesakit rabun dekat.
Selain itu, penduduk juga mendapat manfaat daripada saringan kanser pangkal rahim (Pap Smear), pemeriksaan payudara, serta agihan kit kebersihan diri dan ubat cacing serta ubat kutu untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
Turut diadakan ceramah kesihatan bagi meningkatkan kesedaran komuniti mengenai amalan hidup sihat dan pencegahan penyakit.
MERCY Malaysia mengadakan program ini bagi menyediakan akses kesihatan kepada komuniti luar bandar serta meningkatkan tahap kesejahteraan masyarakat melalui perkhidmatan kesihatan asas, saringan, pendidikan kesihatan dan bantuan kebersihan diri.















Comments