top of page

Kemajuan Teknologi Perlu Dipandu Nilai, Akhlak Mulia – Tun Musa

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read


26 Ogos 2026


KOTA KINABALU : Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman menekankan kemajuan teknologi dan keterbukaan maklumat perlu dipandu nilai serta akhlak mulia.


Beliau berkata, kemajuan teknologi sewajarnya dimanfaatkan sebagai medium menyebarkan ilmu, memperkukuh hubungan dan membawa manfaat kepada masyarakat, bukannya menjadi medan menyebarkan fitnah, kebencian serta penghinaan.


"Kemajuan teknologi yang kita nikmati hendaklah sentiasa dipandu oleh nilai dan akhlak mulia bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan kepada masyarakat tanpa menjejaskan keharmonian.


"Kemajuan teknologi ini sewajarnya menjadi alat untuk menyebarkan ilmu, memperkukuh hubungan dan membawa manfaat kepada masyarakat.


"Perubahan teknologi dan keterbukaan maklumat turut membawa cabaran baharu apabila cara manusia berkomunikasi, memperoleh maklumat dan membentuk pandangan berubah dengan begitu pantas.


"Masyarakat perlu menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan dalam berdepan perubahan dan cabaran semasa, termasuk dalam kehidupan bermasyarakat.


"Keperibadian Baginda bukan sahaja menjadi pedoman dalam urusan ibadah, malah merangkumi kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, kepimpinan, pentadbiran serta hubungan sesama manusia," katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di sini, pada Selasa.


Tun Musa turut menyeru rakyat Sabah supaya terus memperkukuh perpaduan dan memelihara keharmonian yang menjadi kekuatan negeri ini.


"Walaupun Sabah mempunyai kepelbagaian suku, kaum, agama dan budaya, rakyatnya selama ini dapat hidup dalam suasana rukun, damai dan aman sentosa.


"Kepelbagaian yang menjadi kekuatan kita kini harus dipelihara dengan semangat saling menghormati, memahami dan bekerjasama," ujarnya.


Beliau turut mengajak umat Islam di Sabah menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai medan meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan selawat, mempelajari sirah Baginda serta mencontohi akhlaknya dalam kehidupan seharian.


Tun Musa berharap kecintaan kepada Rasulullah SAW terus menjadi asas kepada usaha membina masyarakat yang aman, bersatu padu dan sejahtera, seterusnya membawa Sabah menuju kemajuan yang diberkati dan diredai Allah SWT.


Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainuddin Aman, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd. Razali Wahab, Yang di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Ja'afar, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Datuk Awang Juri Awang Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam, Datuk Ramlan Awang Ali./Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page