Kemalangan Bot: Satu Maut, Seorang Lagi Masih Hilang
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
4 March 2026
KOTA KINABALU: Seorang maut manakala seorang lagi masih hilang selepas bot yang dinaiki karam dalam satu insiden kemalangan di perairan Pulau Gaya, di sini, awal pagi Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Jeksin Eming, 40, yang berjaya diselamatkan beberapa jam selepas kemalangan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang, di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.
Manakala seorang lagi mangsa, Jaidin Eming, 30, masih belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan pihak berkuasa.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika dua beradik itu sedang memancing.
Katanya, bot kedua-dua mangsa kemudiannya dipercayai bertembung dengan sebuah bot lain hingga menyebabkan Jaidin terjatuh ke laut.
“Mangsa yang cedera bertindak terjun untuk menyelamatkan adiknya, namun gagal sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas itu dan usaha mencari mangsa hilang sedang giat dijalankan,” katanya.
Menurutnya, operasi SAR melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Kita telah meluaskan pencarian dalam radius tiga batu nautika dari lokasi kejadian, namun mangsa kedua masih gagal ditemui,” katanya.











