Kemenangan ini milik rakyat Kadamaian, bukan saya seorang: Ewon
- nabalunews
- Dec 7, 2025
- 2 min read

7 Disember 2025
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, kemenangan dan majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu bukan miliknya seorang tetapi kemenangan seluruh rakyat Kadamaian yang memberi mandat untuk meneruskan pembangunan dan pembaharuan di kawasan itu.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah itu berkata, majoriti besar yang diterima membawa mesej jelas bahawa rakyat Kadamaian mahukan perubahan, sistem pentadbiran serta pelaksanaan projek pembangunan yang lebih baik dan tersusun.
“Kemenangan ini bukan kemenangan Ewon Benedick seorang tapi ini adalah kemenangan bersama semua kita, ini adalah kemenangan rakyat kadamaian.
“Mandat besar yang diberikan ini datang bersama tanggungjawab untuk memastikan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian dapat dijayakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Dengan Jentera Pilihanraya Kadamaian, di Kadamaian Square, di sini, hari ini.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada lebih 11,000 rakyat Kadamaian yang telah memberikan sokongan kepadanya pada pilihan raya lalu.
“Terima kasih atas sokongan sepanjang tempoh kempen. Kini bukan masa berkempen, tetapi masa untuk bersatu, bekerjasama dan memperkukuh persahabatan demi pembangunan Kadamaian.
“Tanggungjawab utama kita ialah memenuhi harapan 11,977 pengundi Kadamaian yang memberikan mandat besar kali ini dengan majoriti 9,672. Majoriti besar ini menuntut pendekatan baharu.
“Cara lama memang baik tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki kerana rakyat Kadamaian mahukan pembaharuan. Maka, pentadbiran baharu melalui dasar Sabah First akan bermula di Kadamaian,” katanya.
Ewon berkata, bermula Januari 2026, pemilihan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK di seluruh Kadamaian akan dibuat melalui kaedah undian.

“Jika rakyat memberi mandat kepada ADUN, mereka juga berhak menentukan siapa yang memimpin kampung mereka. Ini pembaharuan besar demi ketelusan dan keberkesanan pentadbiran,” katanya.
Katanya, penggal dua tahun tersebut memberi ruang kepada rakyat untuk menilai prestasi kepimpinan kampung dan menukar mereka sekiranya tidak memenuhi peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Mengenai peruntukan ADUN, beliau berkata, setiap kampung akan mendapat agihan sama rata untuk pelaksanaan projek berskala kecil.
“Setiap JKKK akan menerima sekurang-kurangnya RM20,000 bermula tahun depan untuk melaksanakan projek kampung secara terus tanpa melibatkan kontraktor luar kecuali diputuskan melalui mesyuarat rasmi JKKK.

“JKKK mesti menjadi pelaksana projek kampung, bukan hanya pemerhati. Rakyat mesti tahu siapa yang menjalankan projek dan siapa yang bertanggungjawab,” katanya.
Pada 18 Disember ini, Ewon juga akan bertemu semua pastor atau wakil gereja dari seluruh Kadamaian seperti sebelum ini bagi menyampaikan sumbangan bagi sambutan Krismas dan Tahun Baharu.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini sebelum perayaan, kita akan memberikan sumbangan kepada semua gereja di Kadamaian,” katanya dan menambah Sambutan Krismas dan Tahun Baharu Kadamaian akan diadakan pada 5 Jan 2026.


















Comments