Kemenangan UPKO di Kadamaian boleh jadi inspirasi pada pilihan raya akan datang
Wartawan Nabalu News

12 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PAPAR: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mengingatkan semua anggota parti supaya sentiasa bersiap sedia memastikan kemenangan lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, selain mempertahankan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, parti itu perlu bersedia memenangi kawasan-kawasan lain yang akan ditandingi kelak.
“Di DUN Kadamaian harus terus menjadi kerusi menang. Tetapi kita mahu bertanding dan memenangi lebih banyak kerusi. Kita boleh memenangi sokongan rakyat sekiranya Bahagian-Bahagian sudah cukup bersedia dalam semua aspek dan konsisten memberikan pelayanan.
“DUN Kadamaian sebagai contoh. Ianya bukan kerusi tradisi UPKO sebelum ini, tetapi ianya mengambil masa 13 tahun untuk kita menonjolkan pelayanan kepada rakyat di situ dan kini ianya menjadi satu-satunya kubu DUN kita hari ini.
“Kalau Kadamaian boleh, di Bahagian lain juga kita boleh. Mudah-mudahan Kadamaian boleh menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada semua Bahagian UPKO yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Ulang Tahun UPKO ke-29, di Dewan Masyarakat Kg.Biau Papar, di sini, hari ini.
Pada majlis itu Ewon turut melancarkan laman media sosial rasminya sebagai Presiden Parti UPKO, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Wakil Rakyat Penampang dan Kadamaian.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, UPKO bertanding 12 kerusi DUN namun hanya DUN Kadamaian yang diwakili Ewon berjaya memenangi kerusi.
Comments