Kempen Beli Barangan Malaysia diperluas ke platform e-dagang
- nabalunews
- 8 hours ago
- 2 min read

7 November 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggiatkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) melalui kerjasama dengan pengendali platform e-dagang bagi memperluas capaian kempen tersebut ke pasaran digital.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerjasama strategik KPDN bersama pengendali platform e-dagang telah berjaya membantu meningkatkan promosi, memperluaskan pasaran dan menggalakkan pembelian produk buatan Malaysia secara dalam talian.
Menurut beliau dengan tema #JomBeliLokal, pelaksanaan kempen jualan mega secara dalam talian menjadi antara langkah utama bagi memperkukuh KBBM.
“Sepanjang tahun 2024, pelaksanaan KBBM melalui kerjasama rakan strategik platform e-dagang berjaya menjana hasil jualan produk tempatan berjumlah RM1.99 bilion melibatkan 1,640,679 stock keeping unit (SKU).
“Melihat kepada trend peningkatan pembelian melalui platform e-dagang, KPDN akan memperluaskan lagi pelaksanaan kempen KBBM secara dalam talian,” katanya ketika merasmikan TikTok Shop 11.11 Mega Sale Carnival 2025 di Pavilion Bukit Jalil pada Jumaat.
Menurut Armizan, antara rakan strategik yang terlibat ialah TikTok Shop Malaysia yang mewujudkan halaman promosi khas (microsite) bagi tujuan pengiklanan dan promosi produk tempatan.
Selain itu, beliau berkata KPDN melalui agensinya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut menjalinkan kerjasama dengan TikTok bagi memperkukuh kesedaran dan perlindungan harta intelek di Malaysia, khususnya dalam kalangan usahawan digital.
“Melalui kerjasama ini, MyIPO dan TikTok akan memperluas advokasi serta pendidikan berkaitan harta intelek selain memperkukuh penguatkuasaan untuk melindungi hak tersebut dalam persekitaran digital yang semakin berkembang pesat,” jelasnya.
Armizan berkata, KPDN akan terus memperkukuh usaha memperkasa produk tempatan melalui pendekatan seluruh negara bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan KBBM.
Ujarnya, kempen itu digerakkan dengan beberapa objektif utama termasuk merangsang ekonomi domestik, meningkatkan pembelian barangan tempatan, serta menjana pendapatan dan menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan.
Kempen itu juga, katanya bertujuan menonjolkan kualiti produk dan perkhidmatan buatan Malaysia yang setanding dengan jenama antarabangsa selain memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat untuk menyokong barangan tempatan.


















Comments