• Wartawan Nabalu News

Kempen derma darah 'Blood Heroes' berjaya kumpul 472 pek darah



30 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Kempen Derma Darah 'Blood Heroes' anjuran Persatuan Pendidikan Usahawan berjaya mengumpul sebanyak 472 pek darah dalam program derma darah yang dianjurkan, Ahad lepas. Ketua penganjur program, Joseph Chin berkata dalam kempen terbabit, seramai 626 individu yang hadir untuk menderma darah. "472 bungkus pek darah yang berjaya dikumpul dapat membantu seramai 1,416 orang pesakit di Sabah yang memerlukan darah. "Diharapkan usaha pihak kami ini sedikit sebanyak dapat membantu unit bank darah hospital di Sabah untuk menambah bekalan darah bagi membantu pesakit yang memerlukannya berikutan bekalan darah di negeri ini adalah agak kritikal," katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Joseph turut berkata pihaknya berterima kasih dengan semua pihak terutamanya kepada penderma darah yang hadir dalam kempen terbabit bagi menderma darah. "Kami amat berterima kasih kepada semua penderma darah yang datang menyokong kempen kami untuk menderma darah dan juga 59 orang sukarelawan yang membantu menjayakan program ini. "Selain itu, kami turut merakamkan penghargaan istimewa kepada pemilik Borneo Sports Arena (BSA) Kolombong, Datuk Christinus Chiu yang menaja tempat untuk pelaksanaan kempen derma darah ini," katanya.



Menurut Joseph, pihaknya juga mengambil inisiatif untuk meneliti dan memperbaiki segala kekurangan sepanjang pelaksanaan program bagi penganjuran program seterusnya. "Kami juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan program galakan pendermaan organ bagi mengajak masyarakat untuk membantu golongan memerlukan. "Kami mengalu-alukan mana-mana pihak atau organisasi yang berminat untuk melaksanakan program seumpamanya menghubungi pihaknya bagi membincangkan perkara terbabit," katanya.