Kenapa tidak pakai Perkara 112 C & D sedangkan ia masih dalam Perlembagaan Persekutuan - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kenapa tidak pakai Perkara 112C & D sedangkan ia masih dalam Perlembagaan Persekutuan? Ewon


Datuk Ewon Benedick

19 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick membidas Menteri Kewangan Persekutuan, Tengku Zafrul Aziz yang menyatakan formula 40 peratus pemberian hasil bersih persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Negeri tidak lagi terpakai.


“Semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Jemaah Menteri bersumpah akan menjunjung Perlembagaan Malaysia semasa mengangkat sumpah jawatan. Formula pemberian semula dua perlima atau 40 peratus hasil persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Negeri masih lagi tersurat dalam Perkara 112C & D Perlembagaan Persekutuan Malaysia sehingga kini.


“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua Wakil Rakyat dan juga Ahli Jemaah Menteri untuk memastikan tuntutan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, termasuk pemberian hasil persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah haruslah dipatuhi dan dilaksanakan.



"Saya telah membaca jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Persekutuan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Penampang dan inilah antara perkara yang saya akan bangkitkan dalam sidang DUN pada minggu hadapan,” katanya.


Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan demikian semasa program jelajah beliau ke Mukim Taginambur, Kadamaian untuk mengadakan perjumpaan dengan pimpinan akar umbi dari 12 Cawangan UPKO di mukim tersebut.


Semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Penampang pada 3 Mac lalu, Tengku Zafrul menyatakan bahawa formula 40% pemberian khas melalui hasil bersih persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Negeri tidak lagi terpakai kerana kajian semula ke atas pemberian khas tersebut telah dikaji semula.


Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah baru memuktamadkan rundingan berkaitan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D dan perinciannya akan diumumkan bersama oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri dalam masa terdekat.



Menurut Ewon, formula baharu tersebut haruslah lebih baik daripada formula asal yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia tersebut.


“Sebab itu saya akan bangkitkan dalam sidang DUN minggu hadapan. Penjelasan harus diberikan berapa banyak hasil bersih persekutuan yang dikutip dari Sabah setiap tahun dan berapa banyak yang sepatutnya diperolehi semula oleh Kerajaan Negeri Sabah jika berdasarkan kepada formula asal iaitu 40%.


“Rundingan baharu yang dinayatakan itu haruslah lebih baik daripada apa yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika tidak, ianya satu kerugian kepada rakyat Sabah. Ketua Menteri harus memberi penjelasan kepada sidang DUN,” katanya.



Ewon berkata, beliau akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada sidang DUN pada 21 hingga 24 Mac ini dan akan membangkitkan perkara tersebut selain daripada isu keputusan arbitrari ke atas tuntutan pampasan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu, isu perjanjian konservasi alam semulajadi (NCA), isu cadangan pemberian dokumen pengenalan Kad Warga Asing dan isu-isu pembangunan di Kadamaian.


bottom of page