top of page

Kenyataan Kerajaan Dan Notis Rayuan Bercanggah: Implikasi Terhadap Hak Sabah

  • nabalunews
  • Nov 15
  • 2 min read

ree

15 November 2025


KOTA KINABALU: Pemimpin muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Achmad Noorasyrul Noortaip, mempersoalkan percanggahan antara kenyataan kerajaan Persekutuan dan kandungan Notis Rayuan sebenar yang difailkan berhubung keputusan hak 40 peratus hasil Sabah.


Beliau menyifatkan kedua-dua dokumen itu “tidak membawa mesej yang sama”, di mana kenyataan itu menyebut bahawa Kerajaan Persekutuan tidak merayu isu hak berkenaan, namun Notis Rayuan menunjukkan beberapa dapatan penting yang memihak kepada Sabah sedang dicabar.


“Kenyataan media kerajaan memberi gambaran seolah-olah hak 40 peratus hasil Sabah telah selamat dan tidak disentuh, namun Notis Rayuan membuktikan bahawa kerajaan merayu hampir semua elemen lain yang menjadikan hak tersebut boleh dilaksanakan.


“Betul, formula 40 peratus itu tidak disentuh. Tetapi semua perkara lain yang membuka jalan untuk Sabah menerima bayaran — itulah yang sebenarnya dirayu,” katanya.


Menurutnya, antara dapatan mahkamah yang disenaraikan sebagai cuba digugurkan atau dibatalkan dalam rayuan itu termasuk arahan membuat semakan perlembagaan baharu, pengesahan bahawa tiada semakan sah sejak 1973 serta dapatan bahawa kerajaan telah melanggar Perlembagaan.


Selain itu, katanya, ia juga cuba membatalkan dakwaan salah guna kuasa kerajaan, arahan membayar ganti rugi kepada Sabah, arahan mendedahkan jumlah tunggakan sebenar, serta keputusan yang membatalkan Warta 2022, 2023 dan 2025.


Achmad berkata sekiranya rayuan Kerajaan Persekutan berjaya, Sabah berdepan risiko besar kehilangan hak dan mekanisme untuk menuntut pelaksanaannya termasuk tunggakan selama hampir setengah abad.


“Sabah mungkin tidak boleh memaksa bayaran, hilang tuntutan tunggakan bertahun-tahun, hilang keputusan hakim yang memihak kepada kita dan hilang mekanisme semakan masa hadapan. Kita akan kembali ke zaman ‘hak ada, duit tiada’,” katanya.


Beliau menyifatkan situasi itu sebagai “kemenangan palsu” yang boleh mengelirukan rakyat, di mana ia kelihatan seolah-olah hak 40 peratus itu dipertahankan, namun semua mekanisme pelaksanaannya dibatalkan melalui proses rayuan.


“Kenyataan media hanya untuk meredakan rakyat. Notis Rayuan ialah dokumen sebenar yang menentukan masa depan Sabah. Dan mesej kedua-duanya tidak sama.


“Malaysia ini ada undang-undang. Kalau Perlembagaan sudah sebut hak Sabah jelas, ikut sahaja. Jangan spin, jangan sembunyi, jangan pusing ayat,” ujarnya.


Justeru beliau berkata, rakyat Sabah perlu lebih peka terhadap implikasi undang-undang dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif politik.


Dalam masa sama, katanya rakyat juga perlu bersatu dan memastikan kepimpinan negeri dipilih berdasarkan prinsip mengutamakan kepentingan Sabah serta tidak tunduk kepada tekanan pihak luar.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page