Keperluan UPSR, PT3 dikaji semula – Fadhlina
- nabalunews
- 22h
- 1 min read

9 Januari 2026
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi mengkaji keperluan untuk mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kajian semula itu mengambil kira keluhan ramai ibu bapa berhubung pemansuhan UPSR serta PT3 masing-masing pada 2021 dan 2022.
Menurutnya, laporan kaji selidik dan segala dapatan MPPK akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
"Kita akan mengkaji semula peperiksaan berkenaan kerana ia masih menjadi permintaan ibu bapa.
"Apa saja peperiksaan yang disebut atau yang berada dalam polemik masyarakat itu, saya minta Dr Mohd Azam Ahmad (Ketua Pengarah Pendidikan) memberikan pandangan dan ahli-ahli MPPK akan membincangkannya nanti.
"Laporan kaji selidik dan apa saja dapatan nanti, kita akan serahkan kepada anggota Kabinet untuk membuat keputusan,” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Pendidikan di sini, hari ini.
Tambah beliau, KPM mengaktifkan semula MPPK tahun ini berikutan peranan kritikal majlis itu khususnya dalam memberikan pandangan dan idea dalam konteks profesional namun tetap berpaksikan pendidikan.
Untuk rekod, UPSR dimansuhkan pada tahun 2021, manakala PT3 dihentikan pada tahun 2022, kemudian digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Bagaimanapun selepas beberapa tahun kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan, wujud desakan daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa supaya ia dikembalikan semula.














